top of page

Sokong pendirian PM kutuk serangan AS - Israel ke atas Iran - KEADILAN Kedah

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Penerangan KEADILAN Kedah dan Sekretariat StratKomPen KEADILAN Kedah hari ini menzahirkan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk serangan Israel dan sekutunya terhadap Iran.


Ketua Penerangan KEADILAN Kedah, Datuk Romli Ishak berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap perkembangan konflik di Asia Barat yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.


Beliau berkata, Malaysia secara konsisten menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan negara, mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengutamakan penyelesaian melalui saluran diplomatik.


"Apa pun alasan yang diberikan untuk menjustifikasi serangan ini, tindakan tersebut tetap kejam, zalim dan ganas serta hanya mencetuskan eskalasi, memperluas risiko peperangan dan meningkatkan penderitaan kemanusiaan.

Datuk Romli Ishak
Datuk Romli Ishak

"Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip keamanan sejagat serta menyokong usaha meredakan ketegangan melalui dialog dan rundingan.


"Justeru, dunia harus bangkit bersama Malaysia untuk mengutuk serangan ini, menghentikan provokasi, menolak keganasan, dan mengutamakan jalan damai yang menjamin keselamatan serantau serta global," katanya dalam kenyataan hari ini.


Romli menyifatkan ketegangan geopolitik di Asia Barat berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia melalui ketidakstabilan harga minyak, turun naik pasaran kewangan, gangguan rantaian bekalan antarabangsa serta tekanan inflasi yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.


Justeru katanya, semua pihak diseru agar memperkukuh usaha diplomasi, mendukung keamanan dan memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.


"Kami menyokong segala langkah Kerajaan Malaysia dalam memperjuangkan keamanan dunia serta memastikan kestabilan ekonomi negara kekal utuh demi kesejahteraan rakyat," ujar beliau lagi.


Sebelum ini, Anwar mengutuk serangan udara dilancarkan Israel dan AS ke atas Iran dan menyifatkan tindakan itu sebagai biadab serta melanggar prinsip kedaulatan negara.


Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, Malaysia menggesa gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan serta-merta, sambil menekankan sebarang pertikaian antara negara terbabit perlu kembali ke meja rundingan secara konstruktif.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page