‘Sokong Pas masuk syurga’ dakwaan tidak berasas – Dr Mujahid
- Suara Keadilan

- 29 minutes ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa mengundi atau menyokong Pas menjadi tiket untuk masuk syurga disifatkan sebagai tidak berasas dari sudut ilmu agama mahupun realiti, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).
Beliau berkata, syurga bukan ditentukan oleh sokongan kepada mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan hak Allah SWT dan diperoleh dengan rahmat-Nya.
"Masuk syurga bukan kerana undi parti politik, masuk syurga adalah kerana Allah izinkan atas Rahmat-Nya jua. Nabi SAW ingatkan umatnya bahawa banyaknya amalan bukan mesti syarat untuk dapat syurga malah diri baginda sendiri tak akan masuk syurga melainkan diselimuti dengan Rahmat Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mujahid, umat Islam seharusnya mengejar rahmat Allah dan tidak menyempitkan konsep tersebut dengan mengaitkannya kepada sokongan terhadap sesebuah parti politik.
"Mencari rahmat Allah itulah yang perlu dikejar oleh hamba-hamba-Nya. Bagaimana Setiausaha Agung Pas telah menyempitkan fahaman rahmat Allah Yang Maha Luas dengan undi Pas," soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pendekatan politik yang didakwa diamalkan Pas mampu menjadi asas untuk mengaitkan sokongan kepada parti itu dengan rahmat Allah dan jaminan syurga.
"Apakah Pas sebagai parti politik yang mentakfirkan sesama Islam dan melabel orang yang tidak bersamanya sebagai munafik dsb, akan mengundang Rahmat-Nya atau balanya?
"Bagaimana sikap Pas yang memfitnah dan berbohong demi kuasa dapat mengundang Rahmat-Nya untuk dapat syurga?"
Mujahid berkata, dakwaan “undi Pas masuk syurga” wajar diperbetulkan sekiranya ia benar-benar membawa maksud bahawa sokongan kepada parti berkenaan menjadi syarat untuk memperoleh syurga.
"Saya menganggapnya sebagai ‘menjual syurga untuk politik’ dan pihak berotoriti perlu ambil tindakan sesuai kerana ‘menghina agama’," ujarnya.
Sehubungan itu, Mujahid menyeru supaya kenyataan berkenaan tidak dipertahankan sekiranya ia sememangnya membawa maksud sedemikian.
"Usahlah mempertahankan kepalsuan dan jika benar Setiausaha Agung Pas tidak bermaksud demikian, beliau harus memohon maaf kepada ahli Pas dan seluruh umat Islam," katanya lagi.




Comments