Serangan di sekolah: Tempatkan pekerja sosial, penghubung murid, guru, keluarga


Cadangan penempatan pekerja sosial di sekolah perlu diteroka bagi membantu guru menangani cabaran sosial dan kesejahteraan murid, susulan insiden seorang pelajar yang didakwa menyerang guru menggunakan pisau di Kuching, Sarawak.
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean berkata kehadiran pekerja sosial sekolah boleh menjadi penghubung antara murid, keluarga, pihak sekolah dan agensi berkaitan, sekali gus membantu mengenal pasti keperluan sokongan serta memudahkan intervensi awal.
Beliau berkata, cadangan itu selari dengan kepentingan memperkukuh pengiktirafan dan pembangunan profesion kerja sosial melalui Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026.
Usaha tersebut ujarnya, wajar disusuli dengan penerokaan laluan kerjaya dan penempatan pekerja sosial di sekolah, aspek latihan serta mekanisme kerjasama yang jelas.
"Kejadian itu mengingatkan kita tentang kepentingan membina literasi digital, empati dan rasa tanggungjawab dalam kalangan murid sekolah.
"Media sosial tidak seharusnya menjadi ruang untuk menormalisasikan keganasan atau menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan tontonan.
"Ibu bapa, sekolah, komuniti dan penyedia platform digital perlu memainkan peranan bersama dalam membentuk budaya digital yang lebih bertanggungjawab," katanya menerusi satu kenyataan.
Ujar Ker Chean lagi, masyarakat perlu menangani keganasan dengan tegas dan sewajarnya tanpa terburu-buru membuat kesimpulan tentang punca kejadian.
"Memahami faktor yang menyumbang kepada tingkah laku berisiko bukan bermaksud membenarkan keganasan, tetapi membantu kita mencegahnya daripada berulang.
"Matlamat kita bukan sekadar bertindak selepas tragedi berlaku, tetapi memastikan setiap murid mendapat sokongan yang diperlukan untuk membesar dengan sihat, berempati dan bertanggungjawab," katanya yang menganggap insiden sedemikian sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.
Justeru, Ker Chean mendoakan agar guru yang tercedera diberikan kesembuhan segera dan menyeru semua pihak agar menghormati proses siasatan serta mengelakkan penyebaran semula rakaman kejadian yang boleh menjejaskan mangsa dan pihak terlibat.




Comments