top of page

Kerajaan MADANI angkat peranan pekerja melalui skim perlindungan, akta baharu

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
2 hours ago
2 min read
DS Ramanan berucap Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga KESUMA, di Hotel Parkroyal Collection, KL
DS Ramanan berucap Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga KESUMA, di Hotel Parkroyal Collection, KL

Dasar Kerajaan MADANI terus memberi penekanan terhadap pemerkasaan pekerja menerusi pelbagai skim perlindungan, inisiatif kebajikan dan penggubalan akta bagi memastikan hak serta kepentingan golongan itu terus terbela.


Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelaksanaan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), termasuk Akta Pekerja Gig, perlindungan berkaitan kesatuan sekerja dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET), mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan pekerja serta pembangunan tenaga kerja negara.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga KESUMA, yang meraikan seramai 170 pegawai dan kakitangan kementerian serta 10 jabatan di bawahnya yang telah dan akan bersara pada 2026.


Menurut Ramanan, setiap inisiatif yang dilaksanakan kementerian memerlukan komitmen warga kerja yang memastikan dasar dan perancangan kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat kepada masyarakat.


"Apabila rakyat melihat pelbagai inisiatif KESUMA seperti Akta Pekerja Gig, perlindungan di bawah kesatuan sekerja dan TVET, mereka melihat usaha serta manfaat yang dibawa kepada masyarakat.


"Tetapi, di sebalik setiap inisiatif ini, ada warga kerja yang telah bertungkus-lumus memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik," katanya pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga KESUMA, di Hotel Park Royal, di Kuala Lumpur.


Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan kementerian melaksanakan tanggungjawabnya bergantung pada sumbangan semua warga kerja, sama ada yang berurusan secara langsung dengan masyarakat mahupun yang bertugas di belakang tabir.


Ramanan berkata, jasa penjawat awam yang telah berkhidmat selama puluhan tahun perlu dihargai kerana pengalaman, komitmen dan pengorbanan mereka menjadi sebahagian daripada legasi kementerian.


Pada masa sama, beliau menggalakkan pesara terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dengan berkongsi ilmu dan pengalaman, khususnya dalam membimbing generasi muda supaya lebih berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.


"Persaraan bukan pengakhiran kepada sumbangan seseorang, sebaliknya peluang untuk meneroka bidang baharu, mengikuti perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page