Kerajaan jamin komisen tiket bas dipantau, pengusaha boleh jual sendiri


Kerajaan akan memantau kadar komisen penjualan tiket bas ekspres dikenakan pengendali terminal berlesen bagi memastikan caj berkenaan tidak melebihi kadar platform ejen tiket dalam talian (OTA) susulan kebimbangan pengusaha terhadap pelaksanaan dasar baharu itu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan memahami tekanan dihadapi pengusaha bas berikutan peningkatan kos operasi namun pengendali terminal turut perlu menanggung kos penyediaan, pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan fizikal.
"Berbeza dengan OTA dari luar negara yang hanya menyediakan platform jualan tiket, pengendali terminal perlu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan kemudahan fizikal," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Loke, sebahagian hasil komisen wajar disalurkan kepada pengendali terminal bagi memastikan kemudahan awam berkenaan dapat terus diselenggara dengan baik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan memantau kadar komisen yang dikenakan bagi mengelakkan caj berlebihan selain membenarkan pengusaha bas terus menjual tiket melalui platform mereka sendiri.
"Kita mahu mencari keseimbangan yang adil kepada semua pihak, menjaga kebajikan pengusaha bas dan memastikan kemudahan terminal yang selesa serta perkhidmatan yang lebih baik," katanya.
Isu berkenaan timbul susulan pekeliling Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 16 Oktober lalu mengenai sekatan terhadap penggunaan platform OTA tertentu dan pemberian hak eksklusif penjualan tiket bas ekspres kepada pengendali terminal berlesen dijadual berkuat kuasa pada 1 November ini.
Dasar itu antara lain bertujuan menangani masalah penguatkuasaan terhadap platform OTA tidak berlesen dan berpangkalan di luar negara khususnya apabila berlaku pertikaian berkaitan pembatalan perjalanan atau tuntutan bayaran balik penumpang.
Bagaimanapun, pelaksanaan dasar itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha bas berhubung struktur komisen, kos perniagaan dan kemungkinan kebergantungan kepada pengendali terminal bagi urusan penjualan tiket.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini memberi jaminan kadar caj komersial akan dipantau bagi mengelakkan manipulasi harga dan amalan monopoli yang tidak adil selain meneruskan sesi libat urus bagi memperincikan mekanisme pelaksanaannya.




Comments