Sokong gesaan Nurul Izzah percepat ukur tanah adat - KEADILAN Kapit
- Suara Keadilan
- Jun 30
- 2 min read
Updated: Jul 1

Oleh: Akmal Manaf
Parti Keadilan Rakyat Cabang Kapit menyatakan sokongan penuh terhadap teguran dan gesaan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, agar penyukatan dan pemberian geran Tanah Hak Adat Bumiputera di Sarawak dipercepatkan.
Ketua Cabangnya, Khusyairy Pangkas berkata, pemberian geran akan termasuk tanah adat asal pemegang Lesen Pemajakan (PL), Lesen Penamanan Hutan (LPF) atau Lesen Pembalakan (TL) yang diperjuangkan oleh suku kaum Orang Asal sejak sekian lama.
Sebagai Ketua Cabang Kapit, katanya, beliau merayu kepada seluruh masyarakat khususnya Dayak dan Bumiputera amnya tanpa mengira fahaman politik agar mendukung seruan tersebut.
''Teguran Timbalan Presiden sangat berpatutan jika dinilai dari segi sejumlah besar dana RM282 juta sejak tahun 2010 disalurkan ke Sarawak dari Putrajaya.
''Namun peningkatan kerja-kerja pengukuran dan pemberian geran tanah adat agak perlahan dan mengecewakan kerana tidak sejajar dengan peruntukan yang telah diberikan.
''Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), sejumlah RM100 juta dana telah diagihkan untuk tujuan penyukatan tanah adat.
''Daripada jumlah itu sebanyak RM66.67 juta telah disalurkan kepada kerajaan Sarawak, tidak termasuk RM15 juta peruntukan yang akan disalurkan dalam tahun 2025,'' katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu Khusyairy berkata, prestasi kerja-kerja pengukuran tanah adat oleh agensi pelaksana wajar dipantau oleh Kerajaan Persekutuan agar perihal peruntukan kerajaan digunakan dengan baik.
Beliau menyifatkan, gesaan timbalan presiden itu juga sejajar niat memaknai Manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu 'Membela Nasib Orang Asal Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia.
''Antara lain (ianya) bertujuan memperkukuh hak tanah adat dengan mencipta dasar dan meminda undang-undang berkaitan, sekali gus mempercepatkan proses penyerahan geran tanah kepada Orang Asal.
''Walaupun tanah adalah di bawah bidang kuasa autonomi Sarawak, namun bukan penghalang bagi Putrajaya membentuk dasar dan meminda undang-undang yang relevan di peringkat Persekutuan agar keadilan ditegakkan dalam mentadbir isu tanah adat.
''Kita ingin tahu, sejauh mana pengurusan kewangan dan tatakelola perihal peruntukan itu ditadbir mengikut prosedur pengurusan kewangan kerajaan,'' katanya lagi.
Dalam pada itu, pandangan serong segelintir rakyat Sarawak tentang teguran Nurul Izzah tidak perlu dihiraukan kerana hal itu mencerminkan individu tersebut tidak mengerti atau sengaja tidak serius menegakkan hak asasi sejagat dalam menghormati keadilan hak adat.
Individu itu katanya, harus peka dan bersikap positif dengan sebarang teguran berkaitan NCR dan bukan melontar serangan peribadi terhadap pemimpin yang mempunyai sifat kemanusiaan amat tinggi.
Comments