top of page

Sogok pengundi awal: SEKPUR lapor polis hantaran di media sosial

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 hours ago
  • 1 min read
Shahbudin membuat laporan polis ke atas hantaran di media sosial mendakwa berlaku sogokan pengundi awal
Shahbudin membuat laporan polis ke atas hantaran di media sosial mendakwa berlaku sogokan pengundi awal

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR), Shahbudin Embun menggesa agar siasatan dijalankan susulan satu hantaran di media sosial yang didakwa berunsur fitnah kerana menuduh anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin diminta menyokong Pakatan Harapan (PH) sebagai balasan menerima RM300.


Katanya, beliau melihat satu hantaran daripada seorang pemilik akaun media sosial yang mengandungi dakwaan bahawa beberapa anggota polis IPD Tampin dipanggil seorang demi seorang oleh ketua bahagian masing-masing dan diminta memberi sokongan kepada PH, selain didakwa akan menerima RM300 sebagai balasan.


"Saya percaya hantaran tersebut berunsur fitnah, tidak benar dan boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.


"Saya mohon agar siasatan dijalankan ke atas individu terbabit kerana ianya boleh menimbulkan hasutan, kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat terutama dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan.


Sabtu ini, kira-kira 889,490 pengundi biasa bakal menentukan mandat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, yang menyaksikan 103 calon layak bertanding.


Daripada jumlah itu, PH merekodkan jumlah calon tertinggi dengan 36 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24).


Perikatan Nasional (PN) pula menampilkan 11 calon, diikuti empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.


DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page