Simpati umat Islam M'sia terhadap Iran kurang kerana isu mazhab – Fakhrulrazi
- Suara Keadilan

- Mar 3
- 2 min read

Sentimen kurang simpati umat Islam di Malaysia terhadap Iran yang diserang Amerika Syarikat dan Israel perlu ditangani. Hal itu berpunca daripada persepsi negatif berhubung perbezaan mazhab sunni-syiah.
Menurut mantan ADUN Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, maklumat yang tidak tepat mengenai mazhab syiah sering disampaikan dalam kuliah agama di masjid-masjid di negara ini sehingga masyarakat kurang simpati apabila umat Islam aliran syiah dizalimi.
"Maklumat yang tak tepat ini disampaikan dalam kuliah agama di masjid-masjid dan kebanyakan masyarakat kita tidak ditabayun, terima bulat-bulat (isu syiah).
"Sentimen kebencian mazhab ini, antara sunni dan syiah menyebabkan ada yang lebih membenci syiah daripada Yahudi, sampai menyokong Amerika Syarikat, sampai ke peringkat begitu," katanya dalam sidang media NGO NGO diketuai MAPIM menentang serangan ke atas Iran, semalam.
Fakhrulrazi yang juga Ketua Misi MAPIM Rantau Asia Tenggara menegaskan bahawa isu simpati terhadap mangsa keganasan AS dan Israel tidak seharusnya dicemari dengan sentimen mazhab yang sempit.
"Jadi saya rasa kita kena, selain menguruskan soal simpati, kita boleh membantu saudara kita dengan adakan perbincangan ilmiah untuk menyelesaikan isu ini," ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid yang menurutnya telah memulakan usaha sejak dua tahun lalu untuk mempertemukan ulama sunni dan syiah dalam dialog yang lebih terbuka dan harmoni.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha Cikgu Azmi yang dah mulakan dua tahun untuk mempertemukan ulama sunni dan syiah," katanya lagi.
Fakhrulrazi turut berkongsi pengalamannya bersama Cikgu Azmi mengadakan pertemuan dengan ulama sunni di Iran bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi di negara tersebut.
"Saya sendiri dengan Cikgu Azmi, kita pun dah bertemu dengan ulama sunni di sana (Iran), mendengar apa cerita mereka. Ramai tak tahu 25 peratus umat Islam di Iran adalah sunni dan mereka antara yang menguasai ekonomi di Iran," jelasnya.




Comments