top of page

Silap Jika Kata KEADILAN Tiada Masa Hadapan



Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Adalah benar, KEADIILAN kalah teruk dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.


Apakah ini bermakna parti KEADILAN sudah tidak ada masa hadapan?


Jawapannya tidak. KEADILAN bukan seperti parti Semangat 46, selepas tewas dua kali Pilihan Raya Umum (1990, 1995), terus tutup kedai dan rujuk semula ke Umno.


KEADILAN yang nama penuhnya Parti Keadilan Rakyat adalah parti reformasi dan parti perjuangan. Jika disusur galur sejarahnya, KEADILAN bukan hanya bermula dari letusan reformasi tahun 1998. Parti Keadilan Rakyat merupakan percantuman dua buah parti politik iaitu Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 2003.


KeADILan mewarisi gerakan reformasi 1998 manakala PRM mewarisi perjuangan sejak Kesatuan Melayu Muda,KMM (1930an), Parti Kebangsaan Melayu Malaya, PKMM (1946) dalam menentang penjajahan Inggeris untuk kemerdekaan tanahair.


Parti reformasi dan parti yang mewarisi perjuangan kebangsaan untuk kemerdekaan yang ada pada batang tubuh KEADILAN ini, tidak akan lumpuh dan mati hanya kerana kalah beberapa pilihan raya.


Ada hikmah kepada KEADILAN sebenarnya setelah melalui beberapa kekalahan dalam pilihan raya peringkat negeri. KEADILAN akan dapat segera mempelajari, menilai, menganalisis keadaan untuk bangkit kembali menjelang PRU ke-15 dengan strategi yang ampuh dalam menangani keadaan politik, ekonomi dan sosial semasa yang banyak berubah sekarang ini.


Proses peremajaan KEADILAN terus berlaku


KEADILAN masih merupakan antara blok politik terbesar di parlimen dengan memiliki jumlah ahli parlimen yang ramai. Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Anwar juga masih mengetuai Pakatan Harapan (PH) iaitu blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim

KEADILAN sebuah parti demokrasi yang mengamalkan sistem terbuka dan bebas, satu anggota satu undi untuk memilih pucuk pimpinan termasuk presiden akan menjalankan pemilihan parti pada bulan April depan dan diikuti dengan Kongres Nasional pada bulan Mei berikutnya.


Proses peremajaan KEADILAN sentiasa berlaku. Tiada sesiapa akan dihalang untuk mencabar Anwar Ibrahim sebagai Presiden. Sesiapa yang bersedia dan berani, semua lorong dan jalan dibuka untuk jawatan Presiden KEADILAN dicabar.


Oleh kerana KEADILAN parti reformasi dan parti perjuangan, maka tidak ada sesiapa akan dianugerahkan jawatan kepimpinan di atas dulang perak. Juara tinju Muhammad Ali tidak menjadi seorang juara jika dia tidak mencabar Sony Liston, juara menanti. Begitu juga John F Kennedy tidak akan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang penuh karismatik jika dia tidak menumbangkan pencabarnya Richard Nixon dari Parti Republikan.


Begitu juga halnya dengan Anwar Ibrahim. Dia tidak diberi kepimpinan di atas dulang perak. Dia berjuang untuk dinobatkan sebagai seorang pemimpin sejak zaman muda. Anwar bersaing sesama rakan pimpinan seangkatannya untuk akhirnya beliau muncul sebagai Presiden Belia Malaysia (MBM) sebuah gabungan pergerakan belia pelbagai kaum dan agama yang menjadi badan induk belia Malaysia pada tahun 1974.


Orang di luar KEADILAN boleh bersuara supaya Anwar Ibrahim berundur setelah KEADILAN dan PH kalah dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor.


Tetapi hanya anggota KEADILAN sahaja yang mempunyai hak dan keistimewaan jika mereka mahu menukar Anwar Ibrahim. Jadi cabaran terletak kepada anggota KEADILAN sendiri untuk menentukan masa hadapan parti.


Tiada yang menandingi karismatik Anwar


Jika ada di kalangan anggota KEADILAN merasakan Anwar sudah tidak lagi relevan, maka pemilihan parti pada bulan April depan adalah masanya. Tetapi masing-masing perlu bercermin diri. Misalnya dalam PRN Johor yang baru berlalu ini, siapakah yang paling kuat berkempen untuk calon-calon KEADILAN jika bukan Anwar Ibrahim?


Begitu juga sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang di Parlimen. Tidak ada sesiapa yang akan menghalang untuk orang lain menggantikan Anwar sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang. Jawatan-jawatan itu bukan dipegang selama ini oleh Anwar atas alasan tidak bersebab. Ada meritnya yang ada pada diri Anwar. Jika sudah sampai ketikanya kini, Anwar sudah tidak lagi relevan dan PRU-15 akan datang perlukan seorang jeneral baru untuk memimpin PH dan blok pembangkang, tidak ada siapa yang akan menghalang. Silalah pilih jeneral baru kalau ada.


Anwar Ibrahim tidak akan melepaskan tanggungjawabnya pada rakyat dan negara secara mudah, santai-santai begitu sahaja. Beliau seorang pejuang yang tahu tugas sejarahnya. Bukan sia-sia beliau bertahan berbelas tahun di dalam penjara. Itu harga yang perlu dibayar demi idealisme perjuangannya.


Anwar tidak mendapat secara percuma mendaki saf kepimpinan di zaman dia di dalam Umno. Untuk menjadi Ketua Pemuda Umno pun, Anwar bertarung mengalahkan Shuhaimi Kamarudin. Dari jawatan itu beliau menjadi Naib Presiden Umno juga melalui persaingan yang sengit. Dia menang.


Jawatan Timbalan Presiden Umno kepadanya tidak datang menggolek. Anwar perlu mencabar Tun Ghafar Baba dan menewaskannya di gelanggang politik. Begitulah seterusnya Anwar Ibrahim tidak ke penjara jika dia tunduk dan akur menyerah kalah kepada Tun Mahathir Mohamad, Presiden Umno dan Perdana Menteri yang menzaliminya.


Jadi adalah satu kesilapan jika ada sesiapa yang menganggap Anwar Ibrahim sudah tidak lagi relevan dan KEADILAN sudah tidak ada masa hadapan.


______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page