top of page

Kerajaan perlu tegas tangani rumah ibadat haram - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan supaya mengambil pendirian tegas terhadap isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan dan tidak berkompromi dengan sebarang tuntutan menggantikan tapak baharu, demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta keadilan pentadbiran.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) menegaskan bahawa isu pembinaan rumah ibadat haram tidak wajar disalah tafsir sebagai usaha menafikan kebebasan beragama, sebaliknya ia berkait rapat dengan pematuhan undang-undang yang mesti ditegakkan secara adil dan konsisten.


"Ini bukan soal menafikan kebebasan beragama. Ini soal kedaulatan undang-undang dan keadilan pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, sebarang pembinaan tanpa kelulusan pihak berkuasa merupakan satu pelanggaran nyata, dan memberi pampasan berupa tapak baharu pula akan merosakkan prinsip perundangan negara.


"Jika setiap pelanggaran diberi ganjaran dengan tapak baharu, undang-undang akan berubah menjadi alat tawar-menawar, bukan lagi peraturan bersama," jelasnya.


Mohd Azmi turut memberi amaran bahawa kompromi selepas berlakunya pelanggaran undang-undang akan mencipta duluan berbahaya serta melemahkan autoriti kerajaan.


Beliau menegaskan prinsip keadilan perlu dilaksanakan secara saksama tanpa mengira pihak terlibat.


"Jika rakyat biasa dikenakan tindakan atas pelanggaran kecil, tetapi pembinaan haram berskala besar pula diberi pampasan, maka keadilan telah diputar," ujarnya.


Dalam pada itu, Mohd Azmi menekankan bahawa tanggungjawab mendapatkan kelulusan terletak sepenuhnya pada pihak pembina, bukan kerajaan atau rakyat.


Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian sosial hanya boleh dibina melalui kejelasan peraturan dan penguatkuasaan yang adil, bukannya melalui kelonggaran terpilih yang bersifat politik.


"Ketegasan yang adil mengelakkan ketegangan antara komuniti. Kekaburan dasar dan kompromi politiklah yang sering mencetuskan konflik."


Sehubungan itu, MAPIM menggesa kerajaan mengambil beberapa langkah konkrit termasuk menguatkuasakan undang-undang secara konsisten dan berfasa tanpa provokasi, menjelaskan dasar nasional secara terbuka, membezakan dengan jelas antara kebebasan beragama dan pelanggaran pentadbiran serta menghentikan amalan pampasan automatik bagi kes pembinaan haram.


Mengulas lanjut, Mohd Azmi menegaskan bahawa ketegasan berprinsip merupakan asas kepada keharmonian jangka panjang negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page