top of page

LBGT: Kajian masih kurang, jawapan Menteri berdasarkan pelbagai faktor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Tindakan segelintir pengguna media sosial mengkritik jawapan Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) di Parlimen berhubung isu tekanan kerja sebagai salah satu faktor berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) didakwa dibuat tanpa mengambil kira konteks penuh penjelasan yang dikemukakan.


Berdasarkan jawapan bertulis tersebut, Dr Zulkifli menjelaskan, penyelidikan mengenai golongan LGBT di negara ini masih sangat terhad, sekali gus menyebabkan kekurangan data komprehensif termasuk ketiadaan statistik rasmi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan populasi golongan berkenaan.


Beliau berkata, faktor penyumbang kepada isu LGBT yang disentuh dalam jawapan Parlimen itu adalah bersandarkan kajian akademik, termasuk penyelidikan oleh Sulaiman et al. (2017), yang menunjukkan keterlibatan seseorang dalam gaya hidup LGBT dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan bukan disebabkan satu punca tunggal.


"(Ia melibatkan) pengaruh masyarakat, pengalaman seksual, tekanan kerja, dan faktor peribadi lain yang mempengaruhi seseorang termasuk dalam kategori ini.


"Kajian ini menekankan bahawa gabungan elemen ini boleh menyumbang kepada perkembangan tindakan LGBT.


"Melihat kepada kajian-kajian terdahulu, dapat disimpulkan bahawa faktor keluarga, persekitaran sosial dan kekurangan penghayatan agama adalah faktor utama yang mempengaruhi gejala LGBT," katanya dalam jawapan bertulis itu.


Dr Zulkifli turut menegaskan bahawa orientasi dan perlakuan seksual seseorang dipengaruhi secara ketara oleh latar belakang keluarga, persekitaran yang tidak menyokong dan tahap pemahaman serta amalan agama yang rendah.


Semalam, Dr Zulkifli menerima kritikan daripada pengguna sosial media susulan jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai isu tekanan kerja mungkin menjadi antara punca yang mendorong seseorang individu terbabit LGBT.


Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri memberikan data dan statistik terkini mengenai trend berkaitan isu LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terbabit, serta komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.

header.all-comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page