Dr Taufiq santuni atlet veteran negara sempena lawatan kerja di Ipoh
- Suara Keadilan

- 10 minutes ago
- 1 min read

Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari mengambil kesempatan sempena lawatan kerja di Ipoh untuk menziarahi beberapa atlet veteran negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa.
Antara tokoh sukan yang diziarahi ialah M Karathu, bekas pengurus bola sepak negara yang juga dianggap legenda bola sepak tanah air, selain Ng Fook Huat, bekas atlet wushu, Masmudin, bekas atlet olahraga serta Cheah Tong Kim, bekas perenang negara.
Menurut Dr Taufiq, lawatan tersebut diadakan selepas dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan dan kebajikan beberapa atlet terbabit yang kini berdepan cabaran kehidupan.
"Nama M Karathu tidak lagi asing dalam dunia bola sepak negara dan beliau merupakan legenda yang masih disegani sehingga ke hari ini," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ng Fook Huat dan Masmudin kini berdepan masalah kesihatan yang menjejaskan rutin harian, manakala Cheah Tong Kim pula berada di bawah penjagaan sebuah rumah orang tua.
"Mereka ini merupakan atlet veteran negara yang pernah menyumbang pelbagai pingat kepada negara suatu ketika dahulu.
"Usai mendengar perkhabaran ini, pihak saya telah turun bagi menyantuni mereka dan menghulurkan sumbangan dengan harapan agar ianya sedikit sebanyak meringankan beban yang sedang ditanggung oleh mereka," ujar beliau.
Sehubungan itu, Dr Taufiq berkata pihaknya tampil menyantuni para atlet berkenaan serta menghulurkan sumbangan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan atas komitmen dan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan bekas atlet negara.
"Terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan para atlet di sini," katanya lagi.









Comments