Geng Belia Rakan Masjid: MBM sambut baik cadangan PM
- Suara Keadilan

- 4 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik cadangan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan jawatankuasa orang muda di masjid, sambil menggariskan empat asas pelaksanaan utama bagi memastikan inisiatif ‘Geng Belia Rakan Masjid’ dapat dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan berimpak tinggi di peringkat kariah.
Ketua Penerangan MBM, Mohd Syafiq Ridzwan Jamaluddin (gambar) berkata, empat asas itu ialah menyediakan terma rujukan (TOR) yang jelas untuk jawatankuasa orang muda agar peranan belia bukan hanya simbolik, tetapi mempunyai mandat program dan peruntukan tugasan.
Katanya, asas seterusnya adalah berkaitan dengan latihan kepimpinan belia masjid berbimbing (mentoring & coaching) di peringkat daerah dan kariah bagi memastikan kesinambungan, disiplin tadbir urus dan kualiti program.
"Asas ketiga pula ialah berteras empat bidang iaitu kerohanian dan ilmu, kesukarelawanan dan kebajikan, kepimpinan belia, serta pengukuhan komuniti (termasuk literasi digital dan pencegahan sosial).
"Akhir sekali tentang pendekatan inklusif belia setempat (termasuk belia yang tidak berpersatuan), dengan budaya masjid yang mesra, beradab dan menyantuni realiti anak muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Syafiq berkata, pihaknya berpandangan inisiatif yang diusulkan Datuk Seri Anwar itu sangat signifikan untuk golongan muda.
Katanya, bukan sahaja untuk mendekatkan belia dengan institusi masjid, namun pada masa yang sama memperkasa dan membangunkan karakter warga belia yang bukan sekadar jemaah, tetapi rakan penggerak yang menyumbang tenaga, idea, kepimpinan dan khidmat kepada komuniti setempat secara bermakna.
"Kami percaya penglibatan aktif belia dalam institusi masjid juga bukan sahaja mampu melahirkan generasi yang berakhlak, berdaya kepimpinan dan bertanggungjawab, malah mengembalikan masjid sebagai nadi penyatuan ummah dan komuniti.
"Ia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebersamaan, kesejahteraan dan perpaduan nasional," ujar beliau lagi.
Dalam kenyataan sama, Mohd Syafiq berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa JPM (Hal Ehwal Agama) turut memaklumkan cadangan ini akan diteliti bersama pihak berkaitan sebagai usaha memperkukuh peranan belia.
Pada masa sama katanya, KBS juga menyatakan kesediaan menggerakkan platform Rakan Muda sebagai mekanisme memperkasa perancangan jawatankuasa orang muda di masjid.
"Sehubungan itu, MBM menyatakan kesiapsiagaan penuh untuk menggerakkan keseluruhan ekosistem belia termasuk 117 Majlis Belia Daerah, 14 Majlis Belia Negeri dan persatuan-persatuan belia akar umbi untuk berkerjasama dengan agensi serta Kerajaan MADANI, khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Ia bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan secara tersusun, inklusif dan berimpak tinggi," katanya lagi.









Comments