top of page

Sidang Tergempar Arab-Islam: PMX lontar ucapan tegas, harap dunia bertindak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 18
  • 2 min read
Dr Zulkilfi (kiri sekali, duduk) daam mesyuarat persediaan sebelum PMX menghadiri Sidang Tergempar Doha
Dr Zulkilfi (kiri sekali, duduk) daam mesyuarat persediaan sebelum PMX menghadiri Sidang Tergempar Doha

Malaysia terus konsisten memperjuangkan isu Palestin di pentas antarabangsa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menyampaikan ucapan penuh ketegasan dalam Sidang Tergempar Arab-Islam di Doha, baru baru ini.


Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan, ucapan PMX dianggap antara yang paling jelas, berani dan kritikal, dengan membawa saranan praktikal meletakkan Malaysia sebagai negara kecil bersuara lantang.


Katanya, ucapan di Doha bukan sahaja seputar keganasan rejim Israel ke atas negara berdaulat Qatar tetapi juga menyentuh akar krisis, iaitu kemerdekaan Palestin yang dinafikan kuasa besar sebagai punca utama berleluasanya Zionis menyerang negara jiran Arab di sekelilingnya.


"Kita lihat sendiri setiap kali pertemuan dengan pimpinan dunia, PMX pasti akan menyebut dan membangkitkan isu Palestin.


"Saya akui meremang bulu roma mendengar ucapan penuh ketegasan PMX ketika Sidang di Doha," katanya dalam hantaran di media sosial.


Dr Zulkifli menjelaskan antara inti pati utama ucapan PMX termasuklah mengingatkan dunia bahawa kutukan dan deklarasi semata-mata tidak mencukupi.


Selain itu, PMX turut menzahirkan sokongan terhadap misi Sumud Nusantara Flotilla, sebuah inisiatif kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza, Palestin tanpa senjata tetapi dengan “janji bantuan untuk rakyat yang terkepung.”


Menurut Dr Zulkifli, keberanian PMX mencadangkan tindakan memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan oleh jiran jiran Arab dengan Israel adalah mesej luar biasa yang mendapat perhatian pemerhati antarabangsa.


Beliau menambah, meskipun Resolusi Doha dianggap mempunyai kelemahan dan menerima kritikan, ia tetap membuka ruang pengharapan, khususnya menjelang Two-State Solution Conference yang akan dipengerusikan Arab Saudi dan Perancis pada 22 September ini di New York.


"Kita berdoa dan berharap Two-State Solution Conference yang akan dipengerusikan bersama Arab Saudi dan Perancis bersempena Perhimpunan Agung PBB Oktober ini akan membuahkan hasil ke arah penubuhan negara Palestin Merdeka.


"Pada waktu ini Palestin hanya 'Permanent Observer State'. Namun, ia bukannya mudah kerana masih bergantung kepada UN Security Council dan lebih utama peranan Amerika Syarikat," ujarnya.


Sehubungan itu, Dr Zulkifli menekankan bahawa dunia Islam perlu memperkukuh perpaduan, kestabilan serta berdikari dalam bidang ketenteraan, ekonomi, politik dan teknologi bagi menghadapi cabaran global.


Perpaduan mesti diperkukuhkan, kerjasama ekonomi, politik, teknologi dan pembangunan perlu diperluaskan dan kestabilan mesti dipertahankan sebaiknya.


"Kita juga tidak boleh hanya berharap kepada tindakan kerajaan atau negara kerana difahami ada keterbatasannya. Gerakan masyarakat sivil dan advokasi komuniti antarabangsa 'people to people, people to government' juga perlu dipergiatkan sedayanya," kata beliau lagi.


Untuk rekod, Dr Zulkifli mengiringi PM Anwar sewaktu menghadiri sidang Sidang Tergempar Arab-Islam di Doha pada 15 September lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page