top of page

Sidang Khas Parlimen Melanggar Perlembagaan


Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Proklamasi Darurat akan berakhir pada 1 Ogos 2021. Sidang Khas Parlimen dalam tempoh Darurat ini bermula dari 26 Julai hingga 2 Ogos 2021. Manakala Dewan Negara bersidang dari 3 Ogos hingga 5 Ogos.


Sepanjang tempoh Darurat dari 12 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 beberapa Ordinan Darurat telah dibuat di bawah Perkara 150 (2B).


Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai ini merupakan minggu terakhir sebelum Proklamasi Darurat tamat.


Di dalam surat Pemberitahu Sidang Khas bertarikh 15 Julai 2021 yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bin Bacha Mydin di bawah perenggan 4 (i) surat tersebut menyatakan urusan -urusan mesyuarat yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri antara lainnya ialah membentangkan Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat itu mengikut Perkara 150(3), Perlembagaan Persekutuan dihadapan kedua-dua Majlis Parlimen (laid before both Houses of Parliament).


Sidang khas tidak sah?


Soalnya bagaimana Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat tersebut boleh dibentangkan di hadapan Dewan Negara sebelum Darurat tamat pada 1 Ogos 2021 kerana Dewan Undangan Negara hanya mula bersidang pada 3 Ogos dan berakhir 5 Ogos 2021.


Ini menjadikan Sidang Khas Parlimen tersebut tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan kerana tidak mematuhi kehendak Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.


Selanjutnya satu isu lain timbul iaitu adakah Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 dan Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat di dalam tempoh Darurat tersebut akan dibentangkan, dibahas, diundi dan dibuat keputusan di Dewan Rakyat dan juga di Dewan Negara.


Jika dibaca dengan teliti Perenggan 4(i) surat tersebut bermaksud Dokumen Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat dalam tempoh Proklamasi Darurat tersebut hanya diletakkan di atas meja Ahli-ahli Parlimen sahaja.


Perkataan “membentangkan” itu di dalam surat Setiausaha Dewan Rakyat membawa maksud sekadar meletakkan dokumen-dokumen tersebut di atas meja Ahli-ahli Parlimen sahaja. Sebagai contoh, banyak laporan-laporan rasmi seperti Laporan Suhakam, Laporan Ekonomi, Laporan Juruaudit Negara, Laporan Jawatankuasa PAC (Public Account Committee) dibentangkan di Parlimen tetapi hakikat sebenarnya hanya sekadar diletakkan di atas meja Ahli-ahli Parlimen sahaja. Laporan-laporan tersebut tidak dibahas. Jauh sekali dari diundi atau dibuat keputusan.


Janji akan ada perbahasan meragukan


Nasib yang sama juga akan berlaku ke atas Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat dalam tempoh Proklamasi Darurat tersebut. Dokumen-dokumen penting itu hanya sekadar diletakkan di atas meja ahli-ahli parlimen sahaja tanpa dibahas, diputuskan atau undi.


Janji Menteri yang bertanggungjawab Hal Ehwal Parlimen, Takiyuddin Hassan bahawa perbahasan akan dibenarkan semasa Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai hingga 2 Ogos itu amat meragukan.


Ini kerana di dalam dokumen Lampiran (berwarna biru) yang dikembarkan bersama Surat Pemberitahu Sidang Khas (berwarna kuning) tersebut dinyatakan secara bertulis yang amat jelas bahawa Urusan Majlis pada Isnin 26 Julai hingga Isnin 2 Ogos hanya menyebut Penerangan daripada Menteri-Menteri. Tidak sepatah perkataan perbahasan di sebut di dalam Urusan Majlis Mesyuarat Khas.


Jika perbahasan ada di dalam sesuatu urusan Majlis Mesyuarat Parlimen, maka perbahasan itu akan disebut dengan nyata dan terang tanpa sebarang kekaburan. Misalnya melalui satu surat lain bertarikh 15 Julai 2021 yang dikeluarkan dan ditandatangani juga oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bin Macha Mydin atas perkara Takwim Parlimen Bagi Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas Tahun 2021 menyatakan pada 7 September hingga 13 September ditetapkan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja. Kemudian disusuli pada 14 dan 15 September Jawapan oleh Menteri.


Belanjawan 2022 boleh bahas


Begitu juga terdapat perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 dari 21 hingga 27 September. Selanjutnya dinyatakan dalam Urusan Majlis terdapat Perbahasan Belanjawan Negara bermula 1 November hingga 9 Disember 2021. Perkataan "perbahasan" disebut di dalam dokumen rasmi urusan majlis mesyuarat berkenaan. Tetapi tidak ada perkataan "perbahasan" disebut di dalam urusan majlis mesyuarat Sidang Khas Parlimen.


Mengapa hal ini berlaku?


Sebenarnya, setakat ini tidak ada usul dari Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengungkaikan (annulling) Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat dalam tempoh Proklamasi Darurat tersebut dalam Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin depan 26 Julai 2021.


Sebaliknya Sidang Khas Parlimen tersebut hanya sekadar penerangan daripada Menteri-Menteri.


Kesimpulannya Sidang Khas Parlimen tersebut bercanggah dengan kehendak Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan yang menuntut mesti ada usul, perbahasan dan juga pengundian bagi membuat keputusan.


Sekiranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat benar-benar mahu mengadakan Sidang Khas Parlimen itu suatu sidang yang bermakna, sah dan menurut kehendak Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan maka Kerajaan perlu membentangkan Usul dan usul itu hendaklah dibahaskan dan diputuskan dengan undi bagi segala urusan di dalam Mesyuarat Sidang Khas Parlimen tersebut.


Akhirnya perlu rasanya diingatkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negara serta Perdana Menteri bahawa Peruntukan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi. Peraturan-Peraturan Mesyuarat (Standing Orders) tidak boleh mengatasi peruntukan undang-undang Perlembagaan.

________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page