Dengar suara penunggang p-hailing, cari penyelesaian adil, mampan
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 2 min read

Penyelesaian yang tuntas perlu ditemukan berhubung kebajikan penunggang p-hailing, khususnya berkaitan isu struktur bayaran perkhidmatan dan lantai harga.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin, berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) sebelum ini wajar diberi perhatian serius memandangkan penunggang p-hailing merupakan antara tulang belakang utama ekonomi gig negara.
"Para penunggang merupakan tulang belakang ekonomi gig negara, dan sebarang ketidakseimbangan struktur bayaran, termasuk isu lantai harga, memberi kesan langsung kepada pendapatan serta kebajikan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Bryan Ng, beliau sentiasa bersikap empati terhadap cabaran yang dihadapi oleh para penunggang tersebut dan beriltizam untuk mencari penyelesaian yang adil serta mampan demi menjamin kebajikan golongan berkenaan.
"Komitmen saya adalah untuk mencari penyelesaian yang adil dan mampan," katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), pemain industri platform penghantaran, wakil penunggang serta para penghantar sendiri.
Antara langkah praktikal yang dicadangkannya termasuk penggabungan beberapa penghantaran dalam satu perjalanan, penetapan titik pengambilan dan penghantaran yang lebih efisien, serta penggunaan teknologi dan algoritma platform yang lebih telus dan adil.
"Saya juga melihat isu ini dalam konteks lebih luas termasuk pemerkasaan ekonomi rakyat, peningkatan
peluang pekerjaan, dan pembangunan pekerjaan bernilai tinggi," jelasnya.
Pemerkasaan ekonomi rakyat dan peningkatan peluang pekerjaan serta pembangunan pekerjaan bernilai tinggi, kata beliau, selaras dengan agenda Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala dalam jangka sederhana dan panjang, beliau berkata penunggang p-hailing perlu diberikan peluang untuk beralih ke sektor lain melalui keusahawanan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta program peningkatan dan penyesuaian kemahiran.
Selain itu, Bryan menegaskan empati dan keprihatinan terhadap kebajikan penunggang bukan sekadar nilai, sebaliknya asas penting dalam membina ekosistem ekonomi gig yang adil, seimbang dan mampan.
"Saya akan terus mendengar suara para penunggang, memahami cabaran mereka, dan berusaha mencari penyelesaian yang praktikal serta mampan. Empati dan keprihatinan terhadap kebajikan penunggang serta isu lantai harga bukan sahaja nilai, tetapi asas kepada pembinaan ekosistem ekonomi gig yang adil, seimbang, dan mampan," tegasnya.
Semalam, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) dalam kenyataan mereka melahirkan rasa kecewa berhubung pendirian Kementerian Sumber Manusia yang menolak cadangan penetapan kadar lantai bagi perkhidmatan p-hailing.
PPRPM memaklumkan bahawa penetapan harga atau kadar lantai adalah satu keperluan asas dan mendesak bagi melindungi kebajikan penunggang p-hailing.
Menurut persatuan itu, sehingga ke hari ini majoriti penunggang masih bergelut dengan kadar upah yang semakin menurun, tidak seimbang dengan kos sara hidup, kos penyelenggaraan kenderaan serta risiko kerja yang ditanggung setiap hari.





