'Sibuk main isu perkauman, peluang kerja, ekonomi disapu warga asing'
- Suara Keadilan

- Jun 23
- 1 min read

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan rasa jemu terhadap isu perkauman yang menurutnya masih terus dimainkan dalam wacana politik negara.
Beliau berkata, naratif saling menyalahkan antara kaum seperti Melayu, Cina dan India hanya mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang lebih mendesak, khususnya berkaitan ekonomi dan peluang pekerjaan.
"Melayu maki Cina, Cina maki Melayu, Melayu maki India.....Apa semua ini," katanya sambil menyifatkan keadaan itu sebagai kitaran politik yang tidak berkesudahan.
Beliau berkata begitu menerusi ucapan di majlis pengumuman calon Pakatan Harapan di Tangkak, Johor malam tadi.
Sementara itu tambahnya, ketika masyarakat terus dibiarkan berdebat soal perkauman yang tidak membawa manfaat kepada pembangunan rakyat, sebahagian besar pekerjaan di peringkat bawahan kini direbut tenaga kerja asing dari negara seperti Myanmar, Bangladesh dan Pakistan.
"Kita mesti bekerja dan bina kekuatan ekonomi sendiri, bukan bertelagah soal kaum," kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu dipetik.
Mengulas lanjut, Muhammad menegaskan bahawa ketika kerajaan sedang memperkasa ekonomi semua kaum termasuk Bumiputera, negara amat memerlukan anjakan sikap serta fokus yang lebih mendalam terhadap pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
"Sebab itu kalau mahu negara maju kita mesti terus bekerja, usahawan tempatan kalau ada bakat dalam sektor penternakan ayam dan penanaman nanas, kerajaan akan beri bantuan dan itulah yang kerajaan lakukan sekarang," tambahnya.
Dalam masa sama, beliau menggesa rakyat Johor supaya memilih pemimpin dan calon yang selari dengan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kesinambungan projek dan kemajuan negeri dapat diteruskan.




Comments