Siasat ugutan, intimidasi terhadap Ummi Umairah - Wanita KEADILAN


Wanita KEADILAN menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan gangguan, penghinaan dan ugutan terhadap mahasiswa Universiti Malaya, Ummi Umairah, susulan persoalan yang dibangkitkannya berhubung kutipan dana bagi membantu bekas Perdana Menteri, Najib Razak melunaskan denda mahkamah RM50 juta.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean berkata, anak muda yang menyuarakan pandangan dalam ruang awam tidak sepatutnya berdepan intimidasi atau dibuli hanya kerana mengemukakan persoalan yang tidak disenangi pihak tertentu.
"Sebagai Naib Ketua Wanita KEADILAN, saya berpandangan bahawa tiada anak muda, khususnya wanita yang tampil menyuarakan pandangan dalam ruang awam, sepatutnya berdepan intimidasi atau ancaman keselamatan hanya kerana mengemukakan persoalan yang tidak disenangi sesetengah pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perbezaan pendapat berhubung kutipan dana untuk membantu bekas Perdana Menteri itu perlu ditangani melalui hujah dan fakta, bukannya serangan peribadi.
Katanya, persoalan mengenai kutipan dana berkenaan menyentuh kepentingan awam, khususnya mesej yang disampaikan kepada generasi muda mengenai integriti dan akauntabiliti terhadap kesalahan yang telah diputuskan mahkamah.
"Sebelum ini, saya membangkitkan kebimbangan bahawa usaha Umno mengumpul dana bagi membantu Najib boleh menghantar mesej yang salah kepada masyarakat, seolah-olah kesalahan rasuah boleh dimaafkan apabila melibatkan pemimpin yang disokong.
"Persoalan asasnya ialah sama ada kita benar-benar mahu membina budaya integriti dan antirasuah atau membiarkan kesetiaan politik mengatasi prinsip akauntabiliti," katanya.
Ker Chean menegaskan, pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan Ummi berhak mengemukakan hujah balas, namun perbezaan pendapat tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, mengugut atau mengganggu individu berkenaan.
Oleh itu beliau mahu ugutan dan gangguan terhadap Ummi disiasat pihak berkuasa secara serius.
"Saya menggesa pihak berkuasa meneliti laporan yang dibuat, menyiasat dakwaan berkenaan berdasarkan bukti dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang. Keselamatan serta kesejahteraan mahasiswa yang menjadi sasaran gangguan juga perlu diberikan perhatian.
"Buli siber bukan perkara remeh apabila melibatkan penghinaan berulang, ancaman atau usaha menakut-nakutkan seseorang sehingga menjejaskan kebebasannya untuk bersuara," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa wanita muda tidak sepatutnya berdepan penghinaan terhadap penampilan atau serangan peribadi apabila mengemukakan pandangan mengenai isu politik, ekonomi dan kepentingan masyarakat.
Tegas Ker Chean, universiti sepatutnya menjadi ruang untuk mahasiswa mengembangkan pemikiran kritis, menguji hujah dan membahaskan persoalan sukar secara terbuka.
"Jika keberanian bertanya dibalas dengan ugutan, kita bukan sahaja merugikan individu yang terlibat, malah melemahkan budaya demokrasi dan usaha membina generasi yang berani menolak rasuah," katanya.
Tambahnya, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan seorang mahasiswa yang mempersoalkan kutipan dana untuk membantu bekas Perdana Menteri, sebaliknya turut mencerminkan budaya politik yang mahu dibentuk dalam masyarakat.
"Wanita KEADILAN percaya bahawa masyarakat yang matang tidak takut kepada soalan yang sukar.
"Sebaliknya, masyarakat yang benar-benar menjunjung integriti bersedia menjawabnya secara terbuka, berprinsip dan bertanggungjawab," katanya.




Comments