top of page

"Belanjawan tak jerebu" - PM tegur pembangkang tidak baca penuh data

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
50 minutes ago
3 min read
DS Anwar menerangkan tiada yang berjerebu atau kelabu asap dalam Belanjawan 2027 di MoF hari ini
DS Anwar menerangkan tiada yang berjerebu atau kelabu asap dalam Belanjawan 2027 di MoF hari ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan pihak pembangkang bahawa Belanjawan 2027 yang dibentang minggu lalu tidak jelas atau ‘berjerebu’.


Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan belanjawan itu dirangka secara teliti dengan mengambil kira keadaan ekonomi negara serta keperluan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.


"Belanjawan tak jerebu. Masalah tak baca. Kalau baca, jelas angka dan datanya," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.


Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri sebagai “Bajet Jerebu” kerana mendakwa masih banyak perkara yang tidak jelas.


Pemimpin Pas itu ketika menjawab soalan wartawan pada Jumaat, menggunakan istilah 'haze budget' bagi menggambarkan pandangannya terhadap belanjawan berkenaan.


"Semua nampaknya tak clear dan saya sifatkan bajet ini sebagai bajet jerebu," katanya.


Ahmad Fadhli turut mempersoalkan sumber pembiayaan belanjawan berjumlah RM510 bilion itu malah mendakwa Perdana Menteri sendiri tidak pasti mengenai sumber dana berkenaan.


Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa pengumuman dalam Belanjawan 2027 yang disifatkannya sangat baik untuk rakyat.


Menjawab kritikan itu, Anwar menegaskan Belanjawan 2027 tidak berjerebu sebaliknya mengandungi angka, data dan perincian dasar yang jelas untuk diteliti.


Penyediaan belanjawan dibuat teliti


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2027 dirangka dengan matlamat memberikan manfaat kepada rakyat secara menyeluruh walaupun kerajaan menyedari tidak semua pihak dapat dipenuhi kehendak mereka sepenuhnya.


Menurut beliau, penyediaan belanjawan itu mengambil kira input daripada pelbagai jabatan, kementerian, syarikat, orang ramai serta golongan petani bagi memastikan keperluan rakyat dapat diberikan perhatian sewajarnya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Kewangan dan jentera kerajaan yang bertungkus-lumus menyiapkan belanjawan berkenaan termasuk bekerja siang dan malam bagi memastikan proses penyediaannya berjalan lancar.


Kata beliau penyediaan belanjawan bukan sekadar menyusun peruntukan kewangan sebaliknya memerlukan penelitian mendalam terhadap kekuatan ekonomi negara, keupayaan fiskal kerajaan serta cabaran yang dihadapi rakyat.


Perdana Menteri berkata pendekatan kerajaan berteraskan falsafah ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’ membawa maksud negara perlu terus mengejar kemajuan, teknologi dan inovasi, tanpa mengabaikan masalah kehidupan seharian rakyat.


Jelasnya lagi kemajuan dalam bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum penting untuk menjamin daya saing serta masa depan negara.


Bagaimanapun, katanya kemajuan itu perlu bergerak seiring dengan usaha menangani isu kos sara hidup, pendapatan rendah, harga rumah dan keperluan asas rakyat.


Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah nasib pesawah padi di Kedah, nelayan pantai di Perak serta pekerja yang menerima gaji rendah dan berdepan kos sewa rumah yang tinggi, ujar Anwar.


Beliau turut menekankan kepentingan memastikan pembangunan ekonomi dinikmati secara lebih seimbang antara negeri terutama negeri yang mempunyai hasil lebih kecil tetapi menanggung keperluan perbelanjaan besar untuk menangani kemiskinan, banjir dan kekurangan prasarana asas.


Menurut beliau, dasar ekonomi negara tidak seharusnya hanya mengutamakan kawasan yang sudah maju dan kaya sebaliknya perlu mengambil kira keperluan negeri yang masih memerlukan sokongan pembangunan.


Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, cabaran ekonomi semasa menjadikan pengurusan fiskal lebih penting khususnya apabila harga minyak dunia meningkat jauh melebihi andaian yang digunakan ketika kerajaan membuat unjuran tahun sebelumnya.


Beliau menjelaskan unjuran ketika itu menggunakan harga minyak sekitar AS$70 setong, sedangkan harga semasa yang disebut dalam ucapannya telah meningkat kepada sekitar AS$110 hingga AS$120 setong.


Katanya kenaikan harga minyak berpotensi meningkatkan tekanan terhadap harga barang dan kos kehidupan seperti yang turut dialami beberapa negara lain.


Kurangkan defisit fiskal


Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih berusaha mengurangkan defisit fiskal dalam tempoh 2025 hingga 2027 meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.


Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil usaha seluruh jentera kerajaan dalam memastikan pengurusan ekonomi negara kekal berdisiplin dan memberikan keyakinan kepada rakyat serta pelabur.


Perdana Menteri menegaskan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab memerlukan tekad politik dan kesediaan kerajaan untuk tertakluk kepada mekanisme pemantauan termasuk melalui Akta Tanggungjawab Fiskal.


Katanya kerajaan perlu memastikan setiap keputusan berkaitan kewangan negara dibuat dengan penuh tanggungjawab supaya tidak membebankan generasi akan datang.


Mengulas perbahasan politik mengenai belanjawan, beliau menasihatkan penjawat awam supaya terus melaksanakan tugas dengan yakin, ikhlas dan sabar tanpa terikut-ikut dengan polemik atau kritikan yang tidak membina.


Beliau berkata kerajaan perlu terus menumpukan perhatian kepada usaha membantu rakyat dan melaksanakan dasar yang dirasakan terbaik demi kepentingan negara.


"Tidak mungkin akan menyenangkan semua pihak," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page