top of page

Dana Petronas untuk bantuan rakyat, bukan bunuh 'angsa bertelur emas'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read

Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengibaratkan pengambilan dana Petroliam Nasional Berhad (Petronas) oleh kerajaan seperti 'menyembelih angsa bertelur emas' disifatkan sebagai mengelirukan kerana sebahagian keuntungan syarikat minyak negara itu digunakan untuk membiayai pembangunan dan bantuan demi kesejahteraan rakyat.


Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni (gambar) berkata, Kerajaan MADANI hanya menggunakan sebahagian hasil keuntungan Petronas untuk dikongsi bersama rakyat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan, bukannya sehingga menjejaskan kedudukan kewangan syarikat berkenaan.


"Jadi, apa yang dibuat oleh Kerajaan MADANI ialah berkongsi kemakmuran dan rezeki yang Allah beri kepada rakyat. Tidaklah (sehingga tahap dana) Petronas itu dihabiskan sampai menjadi bankrap atau rugi.


"Kerajaan hanya mengambil sebahagiannya untuk dinikmati bersama oleh rakyat menerusi kemungkinan berkaitan projek perumahan, jalan raya yang lebih baik dan bantuan kepada golongan miskin.


"Ia supaya jurang antara golongan yang kaya dan miskin dapat dirapatkan. Kita tak nak orang miskin terlalu jauh (jurang) dengan orang kaya yang akan menimbulkan rasa cemburu.


"Akhirnya akan menimbulkan konflik sosial dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat miskin dan mereka mencuri, merompak serta menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan mengulas isu berkenaan.


Baru baru ini, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Hamzah mengingatkan kerajaan agar tidak membebankan 'angsa emas' negara seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan keputusan politik.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, institusi strategik itu perlu diberi ruang menjalankan peranan masing-masing tanpa dipaksa menanggung kos atau melaksanakan keputusan kerajaan yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan mereka.


"Kita semua tahu kisah angsa yang bertelur emas. Tuannya tidak sabar menunggu sebiji telur sehari, lalu disembelihnya angsa itu untuk mengambil semua emas sekali gus," katanya seperti dilapor.


Membidas kenyataan Hamzah itu lagi, Mohd Zawawi berkata, penjelasan mengenai peranan Petronas perlu mengambil kira fungsi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.


"Hamzah cuba untuk mengaburkan atau memesongkan fahaman tentang konsep dan fungsi GLC.


"Ternyata Petronas antara syarikat yang banyak membantu di zaman Perikatan Nasional (PN) dan di zaman MADANI ini kita cuba untuk kembangkan supaya bantuan kepada rakyat benar-benar sampai," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page