top of page

Kesal ditengking, Farzana tolak dakwaan bawa agenda politik di Kampung Angkat MADANI

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
48 minutes ago
2 min read
Farzana (kiri) bersama Datuk Azman Abidin dalam program di kawasan DUN Klebang, semalam
Farzana (kiri) bersama Datuk Azman Abidin dalam program di kawasan DUN Klebang, semalam

Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Farzana Hayani Mohd Nasir menolak dakwaan beliau membawa agenda politik ketika menghadiri program Kampung Angkat MADANI di Bukit Rambai, Melaka semalam susulan insiden beliau ditengking dan diarah meninggalkan lokasi program itu oleh seorang wanita.


Beliau berkata kehadirannya ke program di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Parlimen Tangga Batu itu adalah sebagai anak jati Bukit Rambai yang mahu turut serta dalam aktiviti masyarakat setempat.


"Saya berbaju kurung, saya tak bawa apa-apa logo parti dan sebarang bahan kempen pun saya tak bawa. Di mana yang ada mengatakan yang saya bawa unsur politik?" katanya dipetik dari rakaman video penjelasan yang dimuat naik di Facebook susulan insiden itu.


Beliau yang juga Ketua AMK Tangga Batu mengakui berasa sedih dan kecewa apabila diminta meninggalkan program diadakan di pekarangan Masjid Al-Faizin, Paya Mengkuang, Bukit Rambai termasuk ditegur dengan suara agak keras oleh wanita berkenaan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dirinya bersetuju dengan prinsip masjid bukan tempat untuk berkempen politik dan tidak mahu insiden itu dijadikan alasan untuk orang ramai menyerang atau menghina wanita terbabit.


"Saya tak nak panjangkan isu ini. Saya minta semua untuk jangan menghina puan itu. Insya-Allah saya akan berjumpa dengan puan itu jika ada kesempatan," katanya.


"Alhamdulillah saya okay ja, saya pun hadir semula ke Masjid Bukit Rambai selepas dihubungi Datuk Azman (Abidin), Setiausaha Politik Perdana Menteri."


Terdahulu dalam video tular, Farzana dilihat diminta oleh seorang wanita dipercayai pemimpin sebuah parti politik memintanya keluar dari lokasi program tersebut.


Bagaimanapun, beliau menjelaskan mahu bertemu ibu saudaranya yang turut hadir pada program tersebut.


Warga emas tersebut kemudian menuruti Farzana beredar dari lokasi tersebut sambil berkata "balik nak...dia suruh balik..(kita) balik".


Bagaimanapun dalam gambar yang dikongsi Azman di Facebook menunjukkan Farzana mengiringi Setiausaha Politik Perdana Menteri itu ketika meninjau reruai di program tersebut.


Wanita yang dipercayai menengking Farzana itu turut dilihat berada semeja dan sepentas dengan Azman pada program itu.


Namun Suara Keadilan yang telah menghubungi Farzana masih belum mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.


Farzana sebelum ini pernah menjadi calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sungai Rambai pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 dalam persaingan empat penjuru namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Siti Faizah Abdul Azis dengan majoriti 1,137 undi.


Beliau berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya perbezaan pandangan dapat ditangani dengan lebih baik tanpa perlu menengking atau memalukan sesiapa di hadapan orang ramai.


"Saya cuma berharap...kita dapat mengendalikan perbezaan dengan lebih baik tanpa perlu tengking pun siapa sekalipun.


"Kerana pada akhirnya kita semua nak perkara yang sama iaitu keharmonian dalam masyarakat," ujarnya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page