AMK Johor sokong Belanjawan 2027, tolak kenakan tindakan kepada Ummi Umairah


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menyambut baik Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu, khususnya komitmen kerajaan dalam membela kebajikan rakyat dan menjamin masa depan anak muda.
Ketuanya, Faezuddin Puad berkata peningkatan gaji minimum dan penambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) amat dinanti natikan oleh rakyat biasa yang menghadapi benan kos sara hidup.
"Peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, penambahan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion, kenaikan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200, peruntukan RM8 bilion bagi TVET serta sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu melalui BAKAT MADANI membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan memperkukuh ekonomi rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Faezuddin juga prihatin terhadap pihak pihak tertentu yang melakukan budaya intimidasi atau buli ke atas mahasiswa Universit8i Malaya, Ummi Umairah kerana menyampaikan pendapatnya tidak wajar derma dikutip untuk membebaskan seseorang dari tahanan penjara ke tahanan rumah.
"Dalam perkembangan semasa, AMK Johor memandang serius ugutan, kecaman dan desakan daripada pihak tertentu supaya tindakan dikenakan terhadap saudari Ummi Umairah, mahasiswa UM yang mengemukakan persoalan berkaitan Datuk Seri Najib Razak dalam forum iFUTURE 2026.
"Mahasiswa berhak bertanya, berfikir secara kritis dan menyuarakan pandangan tanpa dibayangi ugutan pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak UM kerana tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap mahasiswa berkenaan.
"AMK Johor ingin tegaskan bahawa kebebasan bersuara merupakan prinsip yang mesti dipertahankan tanpa mengira siapa yang bertanya atau siapa yang dipersoalkan.
"Kita mahu melahirkan generasi muda yang berani berfikir dan bersuara demi kepentingan negara," katanya lagi.




Comments