Siasat dakwaan guna ibadah haji raih sokongan politik - Mahfuz
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mendapatkan sokongan politik, susulan dakwaan mengenai penggunaan kemudahan berkaitan institusi itu dalam pemilihan Ketua Umno Bahagian Jerai.
Beliau berkata pendedahan Ahli Parlimen Langkawi di Dewan Rakyat mengenai dakwaan berkenaan merupakan perkara serius yang perlu dijawab berdasarkan fakta, rekod dan siasatan, bukannya melalui kemarahan atau retorik politik.
"Saya tidak membuat keputusan bersalah terhadap mana-mana individu. Tetapi apabila dakwaan sebegini dibuat dalam Dewan Rakyat, ia mesti dijawab dengan fakta, rekod dan siasatan, bukan dengan kemarahan politik," katanya dalam kenyataan media.
Mahfuz berkata persoalan utama bukan mengenai siapa yang menang atau kalah dalam pemilihan Umno, sebaliknya sama ada kemudahan sebuah institusi yang mengurus wang dan amanah pendeposit pernah digunakan untuk kepentingan politik individu atau parti.
"Tabung Haji bukan milik menteri. Bukan milik Umno. Bukan milik Pas. Bukan milik PH. Tabung Haji ialah amanah pendeposit," katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa hampir keseluruhan ketua cawangan Umno Bahagian Jerai mendapat peluang ke Makkah ketika berlangsungnya pertandingan Ketua Umno Bahagian Jerai sehingga menimbulkan rasa “terhutang budi”.
Menurut Mahfuz, dakwaan itu perlu diperiksa secara teliti sekiranya benar berlaku kerana ia boleh menimbulkan persoalan mengenai penggunaan kemudahan ibadah untuk membina sokongan politik.
Beliau menegaskan bahawa ibadah haji tidak boleh dijadikan instrumen politik.
"Ibadah bukan mata wang politik. Tiket ke Tanah Suci bukan tiket menuju kuasa.
"Jangan gunakan tangan yang memegang amanah pendeposit untuk membeli sokongan politik," katanya.
Mahfuz berkata sekiranya berlaku penyalahgunaan institusi amanah, pendeposit TH merupakan pihak yang paling terkesan kerana mereka menyimpan wang dengan harapan ia diurus secara amanah, profesional dan berintegriti.
"Mereka menyimpan sedikit demi sedikit dengan harapan wang mereka diurus secara amanah, profesional dan berintegriti. Kalau institusi itu dipengaruhi kepentingan politik, yang dipertaruhkan bukan jawatan Ketua Bahagian. Yang dipertaruhkan ialah kepercayaan jutaan pendeposit," katanya.
Menurutnya, campur tangan politik dalam institusi amanah boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi tersebut.
Mahfuz turut merujuk kepada penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menurutnya telah menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus dan campur tangan politik dalam pengurusan TH dalam tempoh yang disiasat.
Beliau menegaskan reformasi tadbir urus tidak seharusnya dilihat sebagai serangan terhadap Melayu atau Islam, sebaliknya usaha memastikan institusi Melayu-Islam tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
"Reformasi ialah usaha menyelamatkan institusi Melayu-Islam daripada disalahgunakan oleh sesiapa sahaja," katanya.
Jangan guna politik identiti lindungi salah urus
Mahfuz turut mengingatkan pihak yang gemar menggunakan politik identiti supaya tidak menjadikan isu Melayu dan Islam sebagai alasan untuk mengelak persoalan mengenai tadbir urus.
"Melayu-Islam tidak akan jatuh kerana kita berani mendedahkan kelemahan. Sebaliknya, maruah Melayu-Islam lebih rosak apabila ada orang menggunakan nama Melayu dan Islam untuk melindungi salah urus.
"Jangan gunakan Melayu dan Islam sebagai perisai daripada soalan tentang amanah," katanya.
Beliau berkata sekiranya dakwaan penyalahgunaan benar berlaku, ia wajib dibongkar, manakala jika dakwaan itu tidak benar, pihak yang berkaitan perlu tampil mengemukakan bukti dan membersihkan nama mereka.
Mahfuz menegaskan isu tersebut tidak wajar dijadikan pertelingkahan antara Umno, Pas, Pakatan Harapan atau mana-mana parti kerana persoalan amanah melangkaui kepentingan politik kepartian.
"Siapa pun yang menggunakan amanah pendeposit untuk kepentingan politik, dia mesti dipertanggungjawabkan.
"Tidak kira Melayu atau bukan Melayu," katanya.
Selain itu, Mahfuz mempersoalkan sama ada rakyat sanggup membiarkan peluang menunaikan ibadah haji digunakan sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan politik sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar.




Comments