Siap terima dua kohort Tahun Satu 2027, sedia bilik darjah baharu - KPM
- Suara Keadilan

- Jun 24
- 2 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempergiat persiapan bagi menghadapi kemasukan dua kohort murid Tahun Satu pada sesi persekolahan 2027 termasuk menyediakan tambahan bilik darjah serta tenaga pengajar bagi menampung peningkatan jumlah murid.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, setakat ini KPM menerima 73,386 permohonan murid berusia enam tahun untuk memasuki Tahun Satu pada 2027 selain 405,033 kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan 478,419 permohonan itu meningkat 12.07 peratus berbanding pengambilan Tahun Satu bagi 2026 yang hanya melibatkan kohort umur tujuh tahun.
“KPM mengambil beberapa langkah persediaan termasuk membina 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) berdasarkan keperluan semasa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kah Woh menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta penjelasan mengenai tahap kesiapsiagaan KPM dalam menerima kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu serta langkah memastikan beban guru dapat dikawal.
Beliau berkata pembinaan bilik darjah baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular sedang dilaksanakan melibatkan 838 sekolah dengan jangkaan dapat disiapkan pada tahun ini.
Kepada soalan tambahan Jalaluddin mengenai kesediaan murid daripada latar pendidikan awal yang berbeza, Kah Woh berkata ibu bapa masih diberi pilihan untuk menentukan sama ada anak mereka bersedia memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun atau kekal dalam kohort tujuh tahun.
Beliau berkata KPM turut memperluas akses pendidikan prasekolah dengan menambah 350 kelas prasekolah tahun ini berbanding purata kira-kira 150 kelas setahun sebelum ini.
Langkah itu bertujuan memastikan lebih ramai kanak-kanak khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada pendidikan awal, ujarnya.
Dalam masa sama, kata beliau KPM turut meneliti kesan terhadap operasi tadika swasta susulan perubahan kemasukan satu kohort murid serta meneruskan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu pada 2027 dijangka menjadi perubahan besar dalam sistem persekolahan negara, dengan KPM memberi tumpuan kepada aspek prasarana, guru dan kesediaan murid.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), Kah Woh berkata KPM mempunyai perancangan unjuran keperluan guru untuk tempoh lima tahun di peringkat nasional dan negeri.
Beliau berkata pelantikan guru COS akan dilaksanakan selain memanfaatkan calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memenuhi keperluan semasa.
“Kita juga akan memperkukuh latihan profesional guru, memanfaatkan program transisi Tahun Satu serta memastikan kurikulum persekolahan 2027 disesuaikan dengan tahap perkembangan dan keperluan murid,” katanya.




Comments