Sharon Teo bukan calon 'payung terjun', tarik undi anak muda - AMANAH
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) mempertahankan keputusan mencalonkan Sharon Teo sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, susulan bantahan yang disuarakan oleh beberapa pemimpin AMANAH Kawasan Pasir Gudang.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata, pencalonan Sharon dibuat selepas melalui proses tapisan dan pertimbangan yang teliti di peringkat kepimpinan nasional parti.
"Pencalonan Sharon Teo dibuat dengan penuh teliti oleh Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH setelah melalui beberapa proses tapisan dan mesyuarat," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan dakwaan bahawa Sharon merupakan calon ‘payung terjun’ adalah tidak tepat kerana beliau telah lama terlibat dalam parti dan memegang beberapa jawatan penting di peringkat negeri.
"Sharon Teo bukanlah calon payung terjun memandangkan beliau telah bergiat aktif dengan AMANAH sejak 2018 dan pernah menyandang jawatan Penolong Setiausaha Amanah Negeri Johor pada tahun 2021 hingga 2023 sebelum dilantik sebagai Ketua Wanita Muda (Warda) Amanah Negeri Johor sejak 2023," katanya.
Menurut beliau, AMANAH yakin dengan kemampuan Sharon yang merupakan anak jati Johor untuk mewakili parti dan PH di DUN Permas.
"Pencalonan beliau adalah bagi membuktikan citra AMANAH (pelbagai kaum) yang mahu mengangkat suara golongan muda dan wanita dalam persada politik Malaysia," katanya.
Faiz turut menasihatkan kepimpinan dan ahli AMANAH Kawasan Pasir Gudang supaya mengetepikan perbezaan serta memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihanraya.
"AMANAH (pusat) menasihati AMANAH Kawasan untuk merapatkan saf dan memberikan tumpuan bagi membantu jentera parti dalam memastikan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Permas," katanya.
Beliau menegaskan bahawa matlamat utama dalam PRN Johor adalah memastikan kemenangan PH dan pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
"Kemenangan dalam PRU Negeri Johor ini bukanlah memenangkan calon atas kapasiti individu tetapi untuk memastikan AMANAH menyumbang satu kerusi kepada Pakatan Harapan bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk di Johor," katanya.




Comments