Setiap dasar, bantuan harus sampai terus kepada rakyat Sabah - PM
- Azuan Ab Rahman

- 3 days ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk terus memberi tumpuan terhadap keperluan Sabah agar setiap dasar dan bantuan benar-benar sampai dan dirasai rakyat wilayah itu.
Menurut Datuk Seri Anwar, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar di Pejabatnya di Putrajaya pada Selasa.
"Perbincangan turut menyentuh ikhtiar meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar, termasuk usaha memperkukuh peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam hantaran di media sosial.
Sementara itu dalam satu hantaran lain, beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, semua kementerian sudah diarahkan untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan agar sampai kepada kumpulan sasaran sekaligus memastikan golongan miskin dan rentan tidak tercicir.
Arahan baharu itu mengambil kira impak krisis bekalan global yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian.
"Dalam masa sama, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global.
"Kerajaan MADANI telah memulakan pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Amanah Rakyat. Pendekatan ihsan ini wajar dicontohi PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar," tambahnya.
Hantaran itu menyusul mesyuarat MTEN dipengerusikannya semalam yang antara lain bagi meneliti beberapa cadangan dan inisiatif penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi Malaysia sepanjang krisis Asia Barat.




Comments