top of page

Serangan Israel ke atas Qatar cabul kedaulatan undang-undang antarabangsa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 10
  • 1 min read
ree

Oleh: Helmi Foad


Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, Qatar, yang disifatkan sebagai tindakan agresif melampau serta pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat dan undang-undang antarabangsa.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan tidak berperikemanusiaan itu membahayakan nyawa orang awam, menyerang jantung ibu negara Qatar serta berpotensi mencetuskan konflik lebih besar di rantau Asia Barat.


"Dengan menyasarkan Qatar, sebuah negara yang memainkan peranan penting dalam usaha perdamaian dan rundingan di Timur Tengah, Israel telah menunjukkan penghinaan sepenuhnya terhadap keamanan dan diplomasi.


"Serangan sebegini tidak boleh dipertahankan dan sama sekali tidak boleh diterima," katanya dalam kenyataan.


Anwar menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel bertanggungjawab atas pencerobohan yang keterlaluan itu.


Serangan udara Israel pada Selasa menyasarkan kepimpinan Hamas yang berada di Doha untuk membincangkan cadangan gencatan senjata yang diusahakan bersama Qatar, Amerika Syarikat dan Mesir.


Menurut laporan antarabangsa, serangan itu mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin perunding Hamas, Khalil al-Hayya, seorang pegawai keselamatan Qatar serta beberapa anggota kanan Hamas lain.


Bagaimanapun, Hamas memaklumkan bahawa barisan kepimpinan tertingginya terselamat daripada serangan itu, sambil menyifatkan ia sebagai cubaan pembunuhan yang gagal dan bertujuan menggagalkan proses damai.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kemudiannya mengesahkan serangan berkenaan sebagai operasi ketenteraan penuh yang digerakkan Israel sendiri. Amerika Syarikat pula menafikan penglibatan, sebaliknya menyatakan mereka hanya dimaklumkan ketika serangan sedang berlaku.


Serangan itu mencetuskan kecaman antarabangsa termasuk daripada Qatar, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Turki, Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom yang menegaskan ia merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa serta kedaulatan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page