Serangan AS-Israel: PM gesa gencatan senjata segera, tamat konflik Asia Barat
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gencatan senjata segera dan tanpa syarat adalah satu keperluan mendesak susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang kini mengheret rantau Asia Barat ke ambang krisis lebih besar.
Beliau berkata, Malaysia dengan tegas menggesa Israel, AS dan Iran agar menghentikan segala tindakan provokatif serta kembali ke meja rundingan diplomasi dan dialog.
"Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis yang lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung,” katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Anwar, pendekatan ketenteraan bukan jalan penyelesaian yang mampan dan hanya akan meningkatkan penderitaan serta ketidaktentuan di rantau berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
"Setiap nyawa rakyat Malaysia amat berharga bagi saya. Kerajaan MADANI sedang memantau perkembangan dari semasa ke semasa serta mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan perlindungan dan kebajikan mereka sentiasa terjamin," katanya.
Perdana Menteri turut menyeru agar semua pihak mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.
"Kepada Allah SWT kita berserah, semoga mereka sentiasa dilindungi, dipermudahkan urusan dan dipelihara daripada segala bahaya," ujar beliau.




Comments