Semua pihak terbabit skandal TH perlu diambil tindakan tegas
- Helmi Mohd Foad

- Aug 11
- 2 min read

Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang bertanggungjawab dalam salah laku dan pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) seperti didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mereka.
Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berkata, skala isu yang dibangkitkan bukan sahaja membabitkan kerugian kewangan malah telah mencalarkan reputasi sebuah institusi yang amat penting kepada umat Islam serta imej negara.
Beliau mencadangkan satu pasukan petugas khas membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan kawal selia digerakkan bagi meneliti setiap kemungkinan kesalahan serta mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
"Saya telah nyatakan dengan tegas di awal perbahasan saya bahawa satu pasukan petugas khas, semua jabatan, SPRM, polis, jabatan terbabit harus meneliti isu ini kerana ia telah melibatkan imej kita yang secara khusus seluruhnya terjejas dan tergugat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI berkaitan TH hari ini.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata tindakan itu perlu merangkumi kemungkinan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Menurut beliau penelitian menyeluruh perlu dilakukan kerana isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pelanggaran terhadap peruntukan Akta Tabung Haji, sebaliknya turut membabitkan persoalan tadbir urus, keputusan pelaburan dan kemungkinan salah laku lain.
Dalam perbahasannya, Amirudin turut membangkitkan beberapa pelaburan bermasalah TH termasuk Deru Semangat Sdn Bhd yang melibatkan pelaburan RM526.16 juta serta pelaburan RM364.31 juta menerusi usaha membangunkan kira-kira 200,000 hektar tanah di Kalimantan.
Beliau turut mempersoalkan penglibatan TH dalam Putrajaya Perdana Berhad pada 2014 dan meminta kerajaan meneliti sama ada terdapat sebarang kaitan antara pelaburan berkenaan dengan aliran dana melibatkan SRC International.
Amirudin berkata perkara itu perlu disiasat bagi menentukan sama ada wang pendeposit TH pernah digunakan secara langsung atau tidak langsung untuk menampung masalah kewangan atau transaksi berkaitan syarikat yang mempunyai hubungan dengan SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Soalan saya secara keseluruhannya, berapa banyak wang simpanan ummah Tabung Haji telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB, untuk menutup salah laku syarikat sejak tahun 2014?
"Dan apakah laporan penilaian pelaburan yang digunakan oleh pihak pengurusan Tabung Haji serta adakah terdapat desakan politik untuk duit ini digunakan tanpa mematuhi syarat dan kriteria pelaburan?" katanya.
Amirudin turut membangkitkan isu pemulihan kedudukan kewangan TH yang menurutnya akhirnya memberi implikasi besar kepada kerajaan apabila sukuk berjumlah RM27.5 bilion diterbitkan bagi menangani masalah berkenaan.
Katanya keadaan itu menunjukkan kesan kelemahan tadbir urus dan keputusan pelaburan terdahulu tidak hanya ditanggung TH malah turut memberi implikasi kewangan lebih luas kepada negara.
Beliau turut berpandangan hukuman terhadap pelanggaran tertentu di bawah Akta Tabung Haji perlu diteliti semula sekiranya penalti sedia ada tidak lagi setimpal dengan kesalahan dan jumlah wang yang terbabit.
Amirudin menyeru semua Ahli Parlimen bersatu memastikan mereka yang didapati bertanggungjawab dikenakan tindakan tanpa mengira pihak.
"Saya merasakan bahawa ada keperluan untuk kita secara solidariti bersama-sama seluruh ahli Dewan untuk memastikan siapa pun yang bertanggungjawab harus diambil tindakan tegas.
"Dan mereka ini tidak lagi wajar duduk dekat public office kerana imej itu telah menyebabkan berbilion duit ringgit habis.
"Pada masa sama, ia juga telah menyebabkan imej satu institusi yang dihormati seluruh dunia tercalar dan rosak reputasinya, bukan hanya membabitkan perasaan umat Islam yang mendeposit, tetapi imej negara secara keseluruhan," katanya.




Comments