top of page

Tarik sokongan: Semua pihak perlu utamakan kestabilan negeri - KEADILAN Melaka

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 hours ago
  • 2 min read
Dewan Undangan Negeri Melaka. Foto kredit: website MKN
Dewan Undangan Negeri Melaka. Foto kredit: website MKN

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Melaka menyeru semua pihak agar mengutamakan kestabilan politik dan pentadbiran negeri susulan keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada Kerajaan Negeri.


Dalam satu kenyataan, KEADILAN Melaka memaklumkan parti itu mengambil maklum pendirian lima ADUN berkenaan yang menolak Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan pelantikan ADUN lantikan, serta keputusan mereka untuk keluar daripada pentadbiran negeri.


"KEADILAN Melaka kekal berpegang kepada prinsip bahawa kestabilan politik dan pentadbiran amat penting bagi menjamin kemajuan negeri, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


"Dalam masa sama, cadangan pelantikan ADUN lantikan perlu dinilai secara teliti berasaskan prinsip kebertanggungjawaban, integriti dan semangat demokrasi," kata kenyataan itu.


KEADILAN Melaka juga menyokong pendirian Pengerusi PH bahawa setiap perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara rundingan dan mengutamakan kepentingan rakyat.


"KEADILAN Melaka menjunjung pendirian Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa setiap perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan melalui semangat muafakat, rundingan yang berhemah serta mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi segala pertimbangan lain," katanya.


Bagaimanapun KEADILAN Melaka berkata, parti itu menghormati pendirian yang telah dinyatakan oleh ADUN-ADUN PH yang menarik diri berkenaan.


"Namun demikian, keputusan untuk menarik diri daripada Kerajaan Negeri bukanlah keputusan yang telah dipersetujui secara bersama di peringkat kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Melaka," tegas kenyataan itu.


Sehubungan itu, KEADILAN Melaka menyeru semua pihak supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.


"Ruang perbincangan perlu terus dibuka supaya setiap keputusan dapat dicapai secara matang, bertanggungjawab dan demi kepentingan rakyat Melaka," kata kenyataan itu lagi.


Untuk rekod, ADUN DAP dan AMANAH hari ini menarik sokongan daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas selepas menolak kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.


Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prinsip DAP yang menolak pelaksanaan ADUN lantikan yang disifatkan bercanggah dengan semangat demokrasi dan pilihan raya.


Katanya, semua wakil rakyat PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka termasuk ADUN Bukit Katil, Adly Zahari serta Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Allex Seah Shoo Chin telah mengundi menolak usul pindaan berkenaan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page