Selesai salah urus Tabung Haji, sambung Felda, agensi lain
- Sidiqin Omar

- 1 day ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan meneruskan usaha memperkemas tadbir urus dan menangani kelemahan dalam institusi serta agensi kerajaan, termasuk Felda, selepas isu Tabung Haji diteliti dan tindakan susulan dilaksanakan.
Berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka hari ini, Presiden KEADILAN berkata perkembangan itu memberi isyarat bahawa pendedahan dan penelitian laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta laporan pasukan petugas berkaitan Felda dijangka menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh akauntabiliti dan tadbir urus institusi awam.
"Selesai Tabung Haji, sambung Felda," kata Anwar dalam ucapannya dan turut menjelaskan perbualannya dengan Yang di-Pertuan Agong melalui komunikasi telefon pagi tadi.
Anwar berkata, kerajaan akan meneliti semua pandangan Ahli Parlimen serta laporan berkaitan Tabung Haji sebelum mengambil tindakan, termasuk cadangan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) supaya selaras dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, kelemahan tadbir urus dalam aktiviti pelaburan perlu ditangani secara menyeluruh dan tidak boleh lagi menganggap agensi kerajaan sebagai entiti yang bebas melakukan apa sahaja tanpa tertakluk kepada kerangka kawal selia.
"Jangan diingat dia agensi, dia bebas. Agensi, syarikat berkaitan kerajaan, dia boleh buat apa suka. Tidak.
"Dia kena ikut kaedah dan peraturan. Ini baru kita sebut good governance. Dan itu cara kita tangani masalah, bukan nak bebel dan beban, ambil tindakan," katanya.
Namun kata Anwar, pendekatan kerajaan bukan sekadar mengkritik atau menyalahkan pihak tertentu, sebaliknya mengambil tindakan pembetulan bagi memastikan kelemahan tadbir urus tidak berulang.
Beliau juga akan membawa cadangan berkaitan kerangka undang-undang untuk entiti milik kerajaan ke jemaah menteri dalam masa terdekat bagi memastikan semua entiti terbabit mematuhi prinsip dan peraturan tadbir urus yang lebih jelas.
Anwar menegaskan matlamat perjuangan kerajaan adalah mengangkat martabat rakyat dan memperkukuh negara, bukannya mengekalkan kuasa untuk memperkayakan diri, keluarga atau kroni.
"Matlamat kita kekal kuasa, agenda rakyat. Tetapi tidak menghalalkan cara, kezaliman dan penipuan," katanya.
Beliau berkata prinsip tersebut perlu diterjemahkan melalui pembaharuan sosioekonomi, tatakelola dan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Anwar berkata kerajaan juga perlu berani menerima kelemahan dan memperbaiki perkara yang masih belum sempurna, termasuk dalam aspek penyampaian bantuan, akses pembiayaan, birokrasi serta pelaksanaan dasar.
Katanya kerajaan Madani tidak boleh hanya bergantung kepada angka kejayaan di peringkat makro, sebaliknya perlu memastikan hasil dasar sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
"Melaksanakan yang terbaik untuk rakyat, perniagaan dan persekitaran, terjemahan dari makro ke mikro.
"Kemudian program-program membina nasib rakyat," katanya.
Anwar menggesa pimpinan KEADILAN menjelaskan kepada rakyat pencapaian kerajaan berdasarkan fakta, bukannya membiarkan naratif tidak tepat mengenai dasar kerajaan terus berkembang.
Katanya, tugas parti bukan sekadar mempertahankan kerajaan, tetapi menerangkan kepada rakyat apa yang telah dilaksanakan serta mengakui kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Buat kerja. Terangkan. Ini bukan propaganda. Ini realiti. Kita sudah lakukan," katanya lagi.




Comments