Selangor umum Insentif Khas Aidilfitri sebulan gaji penjawat awam negeri
- Suara Keadilan

- 19 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor sekali lagi menunjukkan keprihatinan kepada penjawat awam di negeri itu apabila mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 berjumlah RM66.25 juta untuk tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, IKSA tersebut bakal memanfaatkan puluhan ribu penerima seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Peruntukan berkenaan akan disalurkan 19 Mac ini merangkumi pemberian IKSA kepada semua penjawat awam negeri berjumlah satu bulan gaji atau minimum RM1,000.
"IKSA satu bulan elaun atau minimum RM500 turut memanfaatkan pemimpin masyarakat seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan kampung baru/bagan, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya (PWB) serta Penggerak Belia Selangor (PeBS)," katanya dipetik.
Pengumuman itu dibuat menerusi ucapan di Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam semalam.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, Kerajaan Selangor turut akan menyalurkan insentif RM500 kepada petugas masjid dan guru rakyat di negeri itu sebagai menghargai jasa mereka.
IKSA berjumlah RM300 turut disalurkan kepada 50,000 penjawat awam Persekutuan seperti anggota polis, tentera, bomba, guru dan jururawat bergaji RM3,000 dan ke bawah yang merupakan lantikan tetap dan berkhidmat di negeri ini.
Manakala IKSA RM1,000 juga disalurkan kepada wartawan dan jurugambar berdaftar dengan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).
"Penyaluran ini akan diuruskan melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Yayasan MBI menjelang Aidilfitri kelak," tambahnya.
Pada majlis tersebut Amirudin turut mengumumkan, Kerajaan Selangor bersetuju mengawalkan tarikh pembayaran gaji penjawat awam dari 16 Mac kepada 13 Mac.
Langkah itu bagi memberikan ruang penjawat awam membuat persiapan Aidilfitri lebih awal.




Comments