Selangor simpan stok beras kecemasan cukup untuk dua bulan - MB
- Suara Keadilan

- Apr 22
- 1 min read

Gudang Makanan Selangor (GMS) kini menyimpan kira-kira 5,000 tan beras yang mampu menampung keperluan penduduk di negeri itu selama dua bulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam berkata, Kerajaan Negeri sedang giat berusaha meningkatkan kapasiti simpanan kepada 15,000 tan bagi memastikan bekalan dapat bertahan sehingga tempoh enam bulan.
"Simpanan beras yang telah dikumpul dalam tempoh dua tahun selepas memperkenalkan polisi GMS adalah lebih 5,000 tan dan kita akan mempergiatkan menambah menjadi 15,000 tan.
"Dengan anggaran 5,000 tan tersebut, sebenarnya kita mampu bertahan dalam sebulan setengah hingga dua bulan walaupun tidak ada beras import.
"Kalau dapat tingkatkan sehingga 15,000 tan bermakna dapat tingkatkan antara lima, enam bulan kemampuan daya tahan makanan dan juga makanan asas rakyat," katanya dipetik mengulas kesan yang mungkin ditanggung Selangor susulan konflik di Asia Barat.
Selangor menjadi negeri pertama di negara ini menyediakan gudang makanan. Ia sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan jaminan makanan ketika berdepan situasi kecemasan luar jangka.
Selain stok beras, GMS turut menyimpan sumber protein seperti daging dan ikan bagi memastikan keperluan pemakanan seimbang penduduk terus terjamin.
Awal bulan ini, EXCO Pertanian Datuk Ir Izham Hashim memaklumkan, stok simpanan GMS mampu menampung keperluan kira-kira 20 peratus penduduk setiap bulan hingga akhir tahun ini.
Kerajaan Negeri sedang dalam proses meningkatkan kapasiti simpanan meliputi makanan ruji dan sumber protein kepada 40 peratus keperluan bulanan menjelang tahun depan.




Comments