Selangor semak semula sistem mitigasi banjir di semua projek pembangunan


Kerajaan Selangor akan menyemak semula semua projek pembangunan yang diluluskan bagi memastikan sistem mitigasi banjir disediakan di kawasan berisiko.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut antara usaha yang akan dilaksana bagi memastikan risiko banjir dikurangkan serta kejadian sama tidak berulang di kawasan terjejas.
"Saya akan minta semak balik segala kelulusan yang telah kita benarkan termasuk mensyaratkan mereka (pemaju) membuat tadahan air sementara (dan) kita juga tidak mahu mereka melakukannya secara sambil lewa," katanya dipetik laporan media.
Beliau ditemui selepas meninjau lokasi kolam tadahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam pada Jumaat.
Hujan lebat dengan taburan melebihi 100 milimeter (mm) di kawasan itu pada Khamis menyebabkan beberapa kawasan di sekitar dilanda banjir kilat.
Menurut Amirudin, limpahan air dari kolam tadahan itu mengakibatkan rasuk konkrit berhampiran pecah, sekali gus menjejaskan lebih 1,000 kediaman dan unit komersial.
Susulan itu kerja baik pulih rasuk konkrit dan menaik taraf kolam tadahan tersebut bakal dilaksana segera.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa isu lain yang menyumbang kepada kejadian banjir di kawasa Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.
Antara isu dikenalpasti ialah aktiviti vandalisme di ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 yang menyebabkan ia menjadi lebih rendah daripada spesifikasi asal di sesetengah bahagian selain limpahan daripada Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Mengulas mengenai Masjid At-Taufiqiah Puncak Alam yang sering dilanda banjir, Amirudin berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak pentadbiran masjid sama ada untuk meninggikan atau memindahkan masjid itu, kerana kawasan terbabit ialah kawasan rendah dan menerima limpahan Sungai Subang.
"Itu (banjir) ialah limpahan Sungai Subang yang mengalir ke Merbau Sempak, Sungai Buloh dan akhirnya sampai ke sini. Itu pergerakan air sejak dahulu, dari Gombak atau Petaling dan sebahagiannya ke kawasan Ijok atau Kuala Selangor," katanya.




Comments