Selangor sedia 200,000 Rumah Selangorku menjelang 2028


Kerajaan Selangor optimis dapat mencapai sasaran penyediaan 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028 sekaligus membolehkan lebih ramai rakyat merealisasikan impian memiliki kediaman mampu milik sendiri."
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini sebanyak 57,000 unit Rumah Selangorku sudah siap dan diserahkan kepada pemilik masing-masing manakala 34,000 unit lagi sedang dalam pembinaan.
"Kalau ikutkan secara keseluruhan sudah kira-kira 174,000 unit. Kalau ikut trend semasa, kita boleh lengkapkan, paling tidak yang dalam pembinaan. Untuk siap, kita perlu perkemaskan lagi terutamanya sasaran siap tahun depan.
"57,000 sudah siap dan serah kunci, ada 34,000 sedang dibina. Keseluruhannya 174,000 unit itu dan baki masih dalam Kebenaran Merancang (KM)," katanya dipetik laporan media.
Amirudin sebelumnya merasmikan Malam Aspirasi Perumahan 2026 sempena Simposium Perumahan Negeri-Negeri Se-Malaysia dianjurkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di Shah Alam.
Kerajaan Selangor menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dibentang Ogos lalu menyasarkan pembinaan 200,000 unit rumah mampu milik menerusi pelaksanaan dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman.
Sementara itu menurut Amirudin, pembinaan Rumah Selangorku turut tidak terlepas daripada cabaran semasa, khususnya ketika pergolakan di Selat Hormuz yang mengakibatkan harga bahan mentah semakin meningkat.
Bagaimanapun Kerajaan Negeri menerusi LPHS mengambil pendekatan melihat kesediaan pemaju bagi memastikan projek yang dirancang dapat diteruskan tanpa menjejaskan kemampuan pembeli.
"Cabaran besar kita tahun ini adalah peperangan di Selat Hormuz. Ia menyebabkan kos bahan api dan sekali gus meningkatkan kos pembangunan. Itu beri impak sebenarnya. Kita pantau secara dekat," jelasnya.




Comments