top of page

'Teknologi berkembang terlalu pesat, agamawan jangan terperangkap isu remeh'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
11 minutes ago
2 min read
Gambar Dr Zulkifli (tengah) bersama-sama Prof. Sohail Inayatullah (kiri), UNESCO Chair in Futures Studies dan Dr Riel Miller, Head of Foresight and Futures Literacy UNESCO menghadiri sidang antarabanagsa
Gambar Dr Zulkifli (tengah) bersama-sama Prof. Sohail Inayatullah (kiri), UNESCO Chair in Futures Studies dan Dr Riel Miller, Head of Foresight and Futures Literacy UNESCO menghadiri sidang antarabanagsa

Golongan agamawan perlu lebih peka terhadap perkembangan teknologi moden dan dinamika geopolitik dunia supaya mampu membimbing masyarakat menghadapi cabaran semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama), Dr Zulkifli Hasan.


Beliau berkata, perkembangan seperti pengkomputeran kuantum, kriptografi pasca-kuantum dan kecerdasan buatan (AI) berkeupayaan tinggi perlu diberikan perhatian kerana mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan, ekonomi dan masa depan masyarakat.


"Saya ingin mengajak semua termasuk agamawan untuk turut cakna dengan perkembangan teknologi dan geo-politik ini.


"Bila kita terbuka dan terdedah dengan perkara yang lebih penting dan besar, maka kuranglah tumpuan pada perkara ranting dan cabang yang merugikan," katanya dalam kenyataan.


Menurut Zulkifli, perkembangan teknologi semasa menunjukkan dunia bergerak pantas, sekali gus menuntut golongan agamawan memperluas pengetahuan melangkaui pengajian agama tradisional.


Beliau menjelaskan bahawa kriptografi pasca-kuantum ialah pendekatan keselamatan siber yang direka untuk melindungi data daripada ancaman komputer kuantum pada masa depan.


Katanya, keupayaan komputer kuantum berpotensi mencabar sistem keselamatan yang digunakan dalam sektor perbankan, komunikasi, kerajaan dan perlindungan data peribadi.


Beliau turut menyentuh perkembangan teknologi kecerdasan buatan yang semakin kompleks, termasuk perbincangan global mengenai super intelligence atau kecerdasan super.


Menurutnya, perkembangan itu memperlihatkan kepentingan penguasaan ilmu kontemporari dalam mendepani perubahan teknologi dan persaingan kuasa besar dunia.


"Dunia sudah begitu jauh ke hadapan. Kita mesti fokus kepada perkara yang lebih besar bukan ranting dan khilaf yang merugikan," katanya.


Bagaimanapun, Zulkifli menegaskan kepentingan pengajian ilmu tradisi dan turath tidak boleh diketepikan, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan penguasaan sains dan teknologi.


"Persiapan dan tumpuan kepada keilmuan tradisi dan turath itu penting tetapi ilmu kontemporari sains dan teknologi juga perlu diketahui dan diberikan perhatian bagi mendepani realiti hari ini dan cabaran masa depan," katanya.


Beliau berkata, agamawan perlu menguasai isu global dan membina pemikiran strategik supaya bimbingan yang diberikan kepada masyarakat kekal relevan, berautoriti serta mampu menangani cabaran ummah secara menyeluruh.


Katanya, penguasaan sains dan teknologi juga perlu berpaksikan nilai Islam bagi memastikan kemajuan dimanfaatkan untuk menjaga integriti agama dan kepentingan masyarakat.


"Sains dan teknologi mesti dikuasai sebagai alat memelihara integriti agama, berteraskan nilai-nilai syarak," katanya lagi.


Zulkifli berkata, gabungan kefahaman Islam dengan realiti dunia semasa penting untuk memimpin pemikiran masyarakat secara berani dan bertanggungjawab, sekali gus memartabatkan syiar Islam selaras dengan semangat Malaysia MADANI.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page