top of page

Kabin Homestay SejaTi MADANI buka peluang jana pendapatan penduduk

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
31 minutes ago
1 min read
Yuneswaran (berbaju putih) bersama penduduk yang mengusahakan kabin homestay
Yuneswaran (berbaju putih) bersama penduduk yang mengusahakan kabin homestay

Penduduk Kampung Gudang Garam, Johor berpeluang menjana pendapatan berterusan menerusi pembinaan kabin homestay yang diusahakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).


Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, projek berkenaan membuktikan kemampuan komuniti luar bandar merancang dan melaksanakan inisiatif ekonomi berdasarkan potensi kawasan masing-masing.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kabin Homestay SejaTi MADANI yang diusahakan JPKK Kampung Gudang Garam.


"Seronok melihat usaha penduduk kampung yang bukan sahaja memikirkan soal kebajikan, tetapi juga mencari jalan untuk menjana pendapatan sendiri.


"Syabas dan tahniah kepada Ketua Kampung serta seluruh JPKK kerana berjaya merealisasikan projek ini," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut Yuneswaran, SejaTi MADANI ialah inisiatif Kerajaan Persekutuan yang memberi peluang kepada komuniti melaksanakan projek ekonomi berdasarkan potensi kawasan masing-masing.


Menerusi program itu, komuniti yang layak boleh menerima geran sehingga RM100,000 bagi mengusahakan projek dalam bidang seperti pertanian, perkhidmatan, pelancongan dan hospitaliti.


Beliau berharap kemudahan kabin homestay berkenaan dapat menarik lebih ramai pengunjung, membuka peluang ekonomi serta menjadi sumber pendapatan berterusan kepada JPKK untuk dimanfaatkan semula bagi memenuhi keperluan kampung.


"Bagi saya, inilah yang menarik apabila penduduk diberi ruang untuk merancang dan mengusahakan sendiri projek yang sesuai dengan kampung mereka.


"Bukan sekadar menerima bantuan, tetapi berusaha membina sumber pendapatan untuk jangka panjang," katanya.


Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan inisiatif SejaTi MADANI yang membuka peluang kepada komuniti luar bandar.


Beliau berharap kabin homestay itu terus berkembang dan membawa manfaat ekonomi serta kesejahteraan kepada seluruh penduduk Kampung Gudang Garam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page