top of page

Bersama cadang apung harga RON95 tidak realistik, petrol lepasi RM4.00 seliter

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
30 minutes ago
2 min read

Naib Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Raja Ahmad Iskandar Fareez menolak cadangan Bersama untuk mengapungkan harga petrol RON95 mengikut kadar pasaran dengan menyifatkannya sebagai tidak realistik dan memberi berpotensi meningkatkan kos sara hidup.


Raja Ahmad berkata, cadangan jurucakap Bersama, Sum Dek Joe agar harga petrol RON95 ditentukan mengikut pasaran apabila harga minyak mentah jatuh di bawah AS$70 setong memperlihatkan seolah-olah tidak mempertimbangkan ketidaktentuan yang melanda pasaran minyak global akibat krisis di Timur Tengah.


"Bagaimana jika harga minyak mentah tidak pernah turun di bawah AS$70 setong? Adakah Bersama akan terus menunggu atau mengapungkan harga sekarang sehingga keluarga yang bekerja terpaksa membayar RM4.32 seliter?


"Pasaran minyak tidak bergerak mengikut jadual yang ditetapkan, lebih-lebih lagi ketika konflik di Timur Tengah semakin meluas, serangan berlaku di Teluk dan risiko geopolitik berada pada tahap yang sangat tinggi," katanya menerusi satu kenyataan.


Sebelum ini, Sum dilapor mencadangkan harga petrol diapungkan selepas harga minyak mentah dunia turun di bawah AS$70 setong, dengan bantuan tunai bulanan disalurkan kepada isi rumah selama tiga bulan terlebih dahulu.


Raja Ahmad berkata berdasarkan amalan ekonomi kepengunaan di Malaysia, kenaikan harga bahan api sebesar itu akan memberi kesan berantai kepada keseluruhan rantaian bekalan dan mencetuskan kejutan harga.


Malah ujarnya, peningkatan kos logistik dan pengangkutan akan turut meningkatkan caj penghantaran makanan, harga barangan runcit serta makanan di gerai penjaja.


"Bantuan tunai kepada isi rumah juga mungkin tidak mencukupi untuk menampung kejutan kos berkenaan. Bersama perlu menjelaskan bagaimana untuk menghalang kenaikan kos daripada dipindahkan kepada pengguna sekali gus memastikan inflasi terus terkawal.


"Kerajaan MADANI memilih pendekatan yang lebih bersifat melindungi rakyat menerusi BUDI95 dan Budi Diesel yang memastikan pengguna yang menggunakan lebih banyak bahan api, membayar harga yang lebih hampir kepada kos sebenar, manakala rakyat biasa terus dilindungi.


"Mekanisme berkenaan turut membolehkan kerajaan menyesuaikan tahap subsidi mengikut perubahan keadaan global.


"Selain itu ia menutup ketirisan yang membolehkan sindiket komersial, penyeludup rentas sempadan dan bukan warganegara mengambil keuntungan daripada subsidi bahan api," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page