Selangor sasar jadi pintu masuk utama syarikat teknologi tinggi


Kerajaan Selangor berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Jerman dalam sektor teknologi tinggi dan pembangunan bakat, khususnya bagi industri semikonduktor serta reka bentuk cip.
Exco Pelaburan, Ng Sze Han berkata, langkah itu selaras dengan usaha memposisikan Selangor sebagai pintu masuk utama bagi syarikat Jerman yang mahu mengembangkan perniagaan ke rantau ASEAN.
"Ke hadapan, kita berharap dapat memperkukuh kerjasama menerusi perkongsian pengetahuan berkaitan ekosistem teknologi tinggi.
"Selain itu, kita turut mahu meneroka kerjasama dalam pembangunan bakat tempatan, terutamanya bagi sektor semikonduktor dan reka bentuk cip," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul kunjungan delegasi Selangor ke Berlin Adlershof Science and Technology Park yang menghimpunkan 1,300 syarikat dan 18 institusi saintifik dalam satu ekosistem perniagaan, penyelidikan dan bakat.
Selain untuk meninjau kemudahan Siemens Energy di Berlin bagi melihat operasi pembuatan turbin gas berteknologi maju. kunjungan juga memberi pendedahan kepada delegasi mengenai peranan teknologi tenaga maju dan keupayaan pembuatan dalam menyokong permintaan industri yang semakin meningkat.
"Lawatan ini memberi peluang untuk kita memahami bagaimana teknologi tenaga maju dan keupayaan pembuatan dapat menyokong permintaan sektor tenaga bersih dan mampan yang semakin berkembang
"Siri pertemuan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama Selangor-Jerman dalam bidang teknologi, pelaburan, bakat dan tenaga," tambahnya.




Comments