Selangor sasar gastronomi muncul sebagai antara industri utama


Sektor gastronomi disasarkan sebagai antara industri utama negeri Selangor dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan matlamat memperkukuh peranannya dalam ekonomi kreatif negeri.
Exco Keusahawanan, Najwan Halimi (gambar) berkata subsektor yang hubungan budaya dengan makanan itu berpotensi besar untuk diperkasa sehingga mampu meletakkan Selangor setaraf hab gastronomi terkenal di Malaysia.
"Fokus utama adalah penciptaan peluang pekerjaan, menambah sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri selain menjadikan Selangor sebagai destinasi kuliner yang mampu menarik pelancong dan pelabur.
"Selangor berhasrat meraih pengiktirafan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), seperti yang dicapai Kuching pada 2021, sekali gus menjana nilai ekonomi yang signifikan," katanya dipetik.
Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik sementara itu berkata, pelbagai usaha pendedahan pasaran dibuat ketika ini menerusi Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor, promosi digital, program Jelajah Rentak Selangor serta kerjasama agensi negeri.
Dalam masa sama, sokongan terhadap sektor turut diperhebat melalui penyediaan pelbagai geran dan inisiatif bagi merancakkan pertumbuhan industri berkenaan.
"Kita akan memperbanyak lagi geran dan bantuan untuk sektor ini di masa hadapan dengan memperkukuh kerjasama beberapa agensi, industri dan komuniti seperti program kolaboratif dan festival budaya.
"(Selain itu), memperkukuh jaringan industri dan platform promosi bersama, mengumpulkan pemain industri bawah satu agenda ekonomi kreatif supaya input dari akar umbi sampai ke peringkat strategik rancangan ekonomi negeri," tambahnya.




Comments