top of page

Selangor rintis kejuruteraan nuklear, hantar 3 mahasiswa ke China

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 38 minutes ago
  • 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus mempersiapkan negeri itu ke arah penerokaan sektor nuklear khususnya penghasilan tenaga dalam tempoh lima tahun akan datang.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu dimulakan dengan menghantar tiga anak Selangor melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Nuklear di Harbin Engineering University, China, mulai September ini hingga 2029 di bawah kumpulan perintis Biasiswa Pembangunan Kemahiran Nuklear Negeri Selangor 2026.

"Tiga individu yang kita hantar ini mempunyai latar belakang kerjaya dan pendidikan yang kukuh. Kita juga beruntung kerana mendapat tajaan daripada pihak China untuk mereka melanjutkan pelajaran," katanya dipetik laporan media.


Amirudin ditemui selepas sesi perjumpaan bersama penerima tajaan Program Latihan Tenaga Nuklear di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Shah Alam pada Isnin.


Tiga penerima berkenaan adalah Muhammad Amani Mazlan, 29; Aiman Syakirah Ahmad Jaffar, 24 dan Hafiz Syahmi Faznee Aniff, 25, menerima tajaan pengajian sepenuhnya daripada kerajaan China, manakala Kerajaan Negeri menanggung tiket penerbangan, komputer riba serta elaun perpindahan.


Sementara itu menurut Amirudin, program tersebut adalah sebahagian inisiatif baharu yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Selangor tahun lalu .


Setakat ini jelasnya 100 orang sudah mendaftarkan diri untuk menyertai program tajaan itu dan bagi kumpulan seterusnya, 22 lagi dijangka dihantar mungkin tahun depan.


"(Penghantaran) ini akan dibuat setiap tahun, kita tengok kesesuaian, sasaran dan juga respon. Sebab ini kumpulan pertama, kita hendak tengok responnya, keadaannya," tambahnya.


Beliau dalam pada itu turut menggalakkan pelajar terbabit bekerja atau latihan industri bersama syarikat nuklear di China terlebih dahulu bagi menimba pengalaman berikutan Selangor belum mempunyai kepakaran domestik dalam sektor tersebut.


Pengalaman berkenaan penting bagi melahirkan tenaga pakar yang bukan sahaja mempunyai kepakaran akademik, malah memahami keseluruhan ekosistem industri nuklear, sebelum kembali menyumbang kepada Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page