Selangor rancang teruskan program sarapan percuma Nutrisel


Kerajaan Selangor berhasrat meneruskan bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) yang diperkenal Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa penambahbaikan serta keperluan tambahan baharu berkaitan inisiatif berkenaan akan dibincangkan pada sesi Dialog belanjawan Selangor selepas menerima maklum balas daripada pihak sekolah.
"InsyaAllah. Saya akan bawa dalam Dialog Belanjawan yang akan diadakan. Kita lihat respon dan maklum balas dari pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Apa penambahbaikan dan keperluan tambahan yang diperlukan," katanya dipetik selepas meninjau pelaksanaan Nutrisel di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia pada Rabu.
Terdahulu Amirudin menyempurnakan simbolik penyerahan Nutrisel di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia sebelum meluangkan masa makan bersama pelajar SMK Gombak Setia.
Program Nutrisel diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor sebagai tindak balas terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
Seramai 104,640 murid dan pelajar yang terdiri daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 menerima manfaat program tersebut, dengan bantuan makanan percuma disediakan pada setiap Isnin dan Khamis.
Berlangsung sehingga Oktober, program ini mendapat kerjasama Kerajaan Negeri dan PBT dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.




Comments