Selangor peruntuk RM100,000 bantu wanita, anak gagal terima nafkah


Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM100,000 bagi menyalurkan Bantuan Nafkah Rahmah Selangor Tahun 2026 bagi membantu wanita dan anak-anak yang gagal menerima nafkah meskipun sudah mempunyai perintah Mahkamah Syariah.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bagi memberi bantuan kewangan sementara kepada keluarga yang terjejas sementara proses penguatkuasaan terhadap penghutang penghakiman dijalankan.
Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan, Anfaal Saari (gambar) berkata peruntukan itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 50 keluarga yang berdepan masalah kegagalan menerima bayaran nafkah.
"Penyaluran bantuan ini akan dibuat secara one-off (sekali bayar) mengikut kadar yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pentadbiran Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JAKESS iaitu sebanyak RM2,000.00 bagi nafkah isteri dan RM1,000.00 bagi setiap anak," katanya dalam kenyataan.
Menurut Anfaal, program itu bertujuan memberi kelegaan sementara kepada wanita dan kanak-kanak yang teraniaya, dan bukan sebagai pengganti kepada kewajipan pihak yang diperintahkan membayar nafkah.
Kata beliau, Kerajaan Negeri Selangor akan terus memastikan hak kebajikan wanita dan anak-anak terbela serta tidak terabai.
"Kerajaan Negeri menggesa sekalian bekas suami dan bapa untuk tidak melepaskan tangan serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam melunaskan nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah demi kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak," katanya.
Anfaal dalam kenyataan itu berkata syarat kelayakan bantuan ialah pemohon mestilah beragama Islam dan bermastautin di Selangor selain mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan.
Pemohon juga perlu mempunyai perintah nafkah Mahkamah Syariah yang masih berkuat kuasa tetapi culas atau gagal dibayar oleh pihak penghutang, katanya.
Selain itu, jelas beliau pemohon perlu memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Penyaluran Pendahuluan dan Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
"Individu yang memenuhi kriteria boleh mengemukakan permohonan secara terus ke Pejabat JAKESS menerusi BSK bagi semakan kelayakan dan penyerahan borang permohonan.
"Kerajaan Negeri kekal bersiap siaga memastikan pemeliharaan hak kebajikan wanita dan anak-anak terus terbela serta tidak terabai di negeri ini," katanya.




Comments