top of page

Implikasi Politik Tahanan Rumah Najib

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read

Oleh: Dr. Bam Al-Haj


ULASAN: Keputusan membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah telah menimbulkan kekecewaan dan kebimbangan dalam sebahagian masyarakat serta kumpulan masyarakat sivil, khususnya berkaitan persepsi terhadap keadilan, akauntabiliti dan usaha memerangi rasuah.


BERSIH menyifatkan keputusan itu sebagai tamparan kepada perjuangan keadilan dan antirasuah manakala beberapa aktivis turut mempersoalkan kemungkinan wujud persepsi layanan berbeza dalam sistem keadilan. Antara dua darjat.


Dalam konteks Kerajaan Perpaduan, peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan menambahkan tekanan dan ketegangan politik, walaupun DAP memilih untuk kekal dalam kerajaan.


Isu ini berpotensi menguji hubungan DAP–Umno–KEADILAN serta keyakinan sebahagian rakyat terhadap agenda reformasi kerajaan.


Syarat tahanan rumah


Pada masa yang sama, kerajaan perlu menjelaskan dengan telus syarat tahanan rumah supaya tidak timbul kekeliruan atau persepsi bahawa seseorang yang masih menjalani hukuman telah diberikan kebebasan seperti rakyat biasa.

Dr. Bam Al-Haj
Dr. Bam Al-Haj

Tahanan dalam rumah bukan bermaksud Najib bebas sepenuhnya, keluar-masuk sesuka hati. Rumah itu tetap dianggap sebagai penjara di mana pegawai penjara akan ditempatkan di situ dengan SOP yang ketat. Orang ramai tidak dibenarkan bertemu Najib tanpa kebenaran pegawai penjara. Hal ini merupakan satu "precedent" baharu dalam kes jenayah rasuah di negara ini.


Dakwaan Syed Sadiq dan beberapa orang lain yang mengatakan PMX perlu dipertanggungjawabkan dalam hal ini kurang tepat. Mendengar kenyataan PMX tentang "Peguam Negara telah menulis panjang lebar" tentang hal ini dan "pendirian tegas kerajaan dalam memerangi rasuah"; dan bahawa "keputusan akhir terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong" sepatutnya dapat diterima dengan hati terbuka.


Keputusan itu adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara. Ia tak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa.


Keputusan perlu dihormati


Jika pun PMX dan seluruh Ahli Lembaga Pengampunan tidak bersetuju tetapi Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan sebaliknya, keputusan itu perlu dihormati.


Katalah Syed Sadiq jadi PM. Adakah dia berani menyanggah keputusan Yang di-Pertuan Agong? Memang itu suatu dilema. Jika tak setuju kenalah letak jawatan. Itulah yang telah dilakukan oleh Anthony Loke.


Apa pun, kerajaan Madani tetap kekal hingga Parlimen dibubarkan pada akhir 2027. Hal ini akan menyebabkan pembangkang terus kecewa.

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page