top of page

Dr Maszlee tawar tuisyen percuma kepada 300 pelajar Tingkatan 4, 5

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
59 minutes ago
1 min read

Hampir 300 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa bakal menikmati akses pembelajaran percuma menerusi Portal SmartZoom Digital Elite yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Ahli Dewan Negeri (ADN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik (gambar) berkata, penajaan akses SmartZoom Digital Elite kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sekolah-sekolah dalam DUN berkenaan merupakan sebahagian daripada janjinya untuk menyediakan tuisyen dalam talian secara percuma kepada anak-anak di kawasan itu.

Pelancaran tuisyen percuma
Pelancaran tuisyen percuma

"Bagi saya, pendidikan bukan sekadar soal keputusan peperiksaan. Pendidikan ialah tentang membuka peluang. Tentang memastikan seorang anak yang mahu berjaya mempunyai ruang dan alat untuk berusaha.


"Kepada hampir 300 anak-anak yang hadir, pakcik berharap agar anda semua manfaatkan peluang ini sebaik-baiknya.


"Tingkatan 4 adalah masa membina asas, dan bagi anak-anak Tingkatan 5, perjalanan menuju SPM semakin hampir. Kami sediakan peluang, anda buktikan kemampuan," kata beliau dalam kenyataan.


Baru-baru ini, hampir 300 hadirin daripada kalangan guru-guru, ibu bapa, pihak swasta dan pelajar Tingkatan 4 dan 5 sekolah-sekolah di sekitar DUN Puteri Wangsa hadir bersama-sama dalam program pelancaran Portal SmartZoom Digital Elite.


Menurut Maszlee lagi, usaha berkenaan tidak terhenti setakat hari pelancaran sahaja, sebaliknya beliau bertekad membina Puteri Wangsa sebagai sebuah komuniti yang meletakkan pendidikan, ilmu dan masa depan anak-anak sebagai keutamaan.


"Semoga daripada sekolah-sekolah di Puteri Wangsa ini lahir generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi yakin, berilmu dan bersedia menghadapi dunia yang sedang berubah.


"Anak-anak Puteri Wangsa, kita belajar, kita usaha dan kita berjaya bersama," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page