Pemimpin agama jadi jambatan perpaduan, tolak ekstremisme - Yuneswaran


Pemimpin agama memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat bertanggungjawab, menyemai nilai murni serta memperkukuh perpaduan antara masyarakat berbeza agama, kaum dan latar belakang.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, institusi dan pemimpin agama mempunyai tanggungjawab besar untuk memupuk sikap saling menghormati, menolak fahaman ekstremisme serta mendekatkan masyarakat menerusi nilai kemanusiaan sejagat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad di Markazu Saquafathi Sunniyya (Markaz), Kerala, hari ini.
Menurutnya, Sheikh Abubakr Ahmad merupakan tokoh ilmuwan Islam dan pemimpin agama yang disegani kerana sumbangan besar dalam bidang pendidikan, kebajikan kemanusiaan, pembasmian kemiskinan serta pembelaan terhadap anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

"Penekanan beliau terhadap nilai kasih sayang, kesederhanaan, keharmonian dan persefahaman antara agama merupakan satu teladan penting dalam membina masyarakat yang mampu hidup bersama dalam kepelbagaian," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Yuneswaran berkata, agama seharusnya menjadi sumber kasih sayang, persefahaman dan harapan, bukannya menjadi faktor yang memisahkan masyarakat.
Katanya, beliau amat terinspirasi dengan komitmen Sheikh Abubakr Ahmad dalam menjadikan ilmu agama sebagai asas kepada kemajuan sosial dan khidmat kemanusiaan.
"Saya percaya bahawa pemimpin agama memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab, menyemai nilai-nilai murni serta memperkukuh ikatan perpaduan antara masyarakat yang berbeza agama, kaum dan latar belakang," katanya.
Beliau turut berharap kebijaksanaan, kepimpinan serta segala jasa dan sumbangan Mufti Besar India itu terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Mengulas pertemuan berkenaan, Yuneswaran menyifatkannya sebagai satu pengalaman bermakna yang mengingatkan bahawa kekuatan sebenar sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada pembangunan material.
Sebaliknya, katanya, nilai kemanusiaan, keprihatinan, kasih sayang dan perpaduan turut menjadi asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni.




Comments