Bomba sukarelawan rumah panjang Sibar pantas kawal kebakaran


Tindakan pantas Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rumah Panjang Sibar, Lubok Lemba, Ulu Sarikei mengawal kebakaran yang berlaku pada awal pagi 16 November lalu berjaya mengelakkan api daripada merebak dan menyebabkan kemusnahan lebih besar.
Pengerusi Biro Kebajikan dan Bencana KEADILAN Sarawak, Bruce Yee Chin Kui berkata, kecekapan serta keberanian penduduk tempatan yang bertindak sebagai barisan hadapan sebelum ketibaan pasukan bomba profesional wajar diberikan penghargaan.
Menurutnya, sebanyak empat pintu rumah panjang berkenaan terjejas dalam kejadian itu.
Beliau berkata, Pasukan Bomba Sukarela Rumah Panjang Sibar memainkan peranan penting melaksanakan tindakan menyelamat dan memadam kebakaran pada peringkat awal.
"Tindakan pantas mereka berjaya mengawal kebakaran sebelum ketibaan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei serta BBP Bintangor yang perlu menempuh perjalanan jauh melalui laluan jalan raya yang sempit dan mencabar," katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Bruce berkata, KEADILAN Sarikei amat menghargai keberanian, kecekapan, semangat berpasukan serta kerjasama erat seluruh penduduk rumah panjang itu dalam menghadapi tragedi berkenaan.

Menurutnya, Rumah Panjang Sibar yang mempunyai 48 pintu terletak kira-kira 31 kilometer dari pusat bandar Sarikei dan dibina sejak 1955, menjadikan kesiapsiagaan menghadapi bencana satu keperluan penting bagi penduduk setempat.
Katanya, rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman Ulu Sarikei itu mempunyai pasukan bomba sukarela sendiri yang dilengkapi pondok khas, peralatan serta kelengkapan asas menyelamat.
Lebih membanggakan, katanya, anggota pasukan berkenaan terdiri daripada penduduk tempatan yang telah menerima latihan dan aktif melaksanakan tugas keselamatan termasuk rondaan secara bergilir-gilir.
"Dedikasi penduduk yang sanggup menubuhkan dan menguruskan Pasukan Bomba Sukarela secara berterusan, termasuk melaksanakan jadual tugas serta rondaan secara bergilir-gilir tanpa sebarang imbuhan, merupakan satu pengorbanan yang amat dihargai," katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan wajar dijadikan contoh kepada rumah panjang lain, khususnya yang mempunyai jumlah pintu besar dan terletak jauh dari balai bomba.
Menurutnya, kewujudan pasukan sukarela yang terlatih serta mempunyai kelengkapan asas mampu menjadi benteng keselamatan awal sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat profesional.
Dalam perkembangan sama, Bruce memaklumkan beliau bersama pasukan KEADILAN Sarikei turut menziarahi empat keluarga yang terjejas bagi menyampaikan sumbangan bantuan bencana serta memberikan sokongan moral kepada mangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pusat Khidmat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta semua individu yang tampil menghulurkan bantuan.
"Keprihatinan dan semangat solidariti semua pihak amat bermakna dalam membantu meringankan beban mangsa, khususnya keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat tragedi ini," ujarnya.
KEADILAN Sarikei turut berharap semua keluarga terjejas diberikan kekuatan dan ketabahan serta usaha pemulihan dapat dilaksanakan dengan baik agar kehidupan mereka kembali seperti sediakala.




Comments