top of page

Melaka: Kekalahan Pilihanraya atau Amaran Awal Buat PH Menjelang PRU16?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read
PH perlu menilai kekuatan sebenar selepas BN-PN bergabung untuk 'mengepung' undi Melayu
PH perlu menilai kekuatan sebenar selepas BN-PN bergabung untuk 'mengepung' undi Melayu
Pencapaian kerajaan tidak semestinya menjamin kemenangan. Rakyat menilai kerajaan berdasarkan kehidupan seharian mereka

Oleh: Mohd Nasrul Syafiq Rosli


ULASAN: Kekalahan dalam pilihanraya bukan sekadar soal angka dan jumlah kerusi. Ia membawa mesej politik yang perlu diteliti, khususnya kepada parti yang sedang memegang tampuk pemerintahan.


Keputusan di Melaka sepatutnya menjadi amaran kepada Pakatan Harapan (PH). Persoalannya, adakah ini sekadar kekalahan pilihanraya atau petanda awal bahawa sokongan rakyat terhadap PH semakin terhakis menjelang Pilihan Raya Umum (PRU)16?


Pencapaian kerajaan bukan penentu


Pencapaian kerajaan tidak semestinya menjamin kemenangan. Rakyat menilai kerajaan berdasarkan kehidupan seharian mereka.


Kos sara hidup, harga barang, peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah lebih dekat dengan kehidupan rakyat berbanding angka pencapaian yang diumumkan. PH perlu memahami bahawa rakyat bukan sekadar mahu mendengar kejayaan kerajaan, tetapi mahu merasai sendiri hasilnya.

Mohd Nasrul Syafiq Rosli
Mohd Nasrul Syafiq Rosli

Perkembangan kerjasama pilihanraya antara BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan dan PRN Melaka merupakan satu perkembangan politik yang tidak boleh dipandang ringan.


Jika kerjasama ini menjadi kenyataan dan berjaya diterjemahkan kepada penyatuan jentera serta sokongan pengundi, PH bakal berhadapan cabaran yang lebih besar.


Perbezaan politik antara BN dan PN tidak semestinya menjadi penghalang apabila kepentingan pilihanraya menjadi keutamaan. PH tidak boleh terus berharap perpecahan antara parti lawan akan menjadi kelebihan mereka. Lawan sedang menyusun strategi, jadi PH juga perlu bersedia.


Berani menilai kekuatan sendiri


KEADILAN perlu melakukan post-mortem secara jujur. Adakah kekuatan akar umbi masih kukuh? Adakah

jentera benar-benar bekerja atau hanya aktif menjelang pilihan raya?


Jangan hanya menilai kelemahan lawan, tetapi gagal melihat kelemahan sendiri. Kekuatan parti bukan diukur melalui kehadiran pemimpin dalam program besar, tetapi melalui kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.


Jangan hanya salahkan komunikasi


Apabila sokongan merosot, jangan terlalu mudah mengatakan rakyat tidak memahami dasar kerajaan atau penerangan tidak sampai.


Persoalan lebih besar ialah bagaimana jika rakyat sebenarnya faham, tetapi tidak berpuas hati? Kritikan rakyat perlu dijadikan ruang untuk memperbaiki kelemahan, bukannya dianggap sebagai serangan politik semata-mata.


Loceng amaran telah berbunyi


Melaka sepatutnya menjadi loceng amaran kepada seluruh kepimpinan PH. Jangan salahkan pengundi atau mencari kambing hitam. Sebaliknya, lakukan muhasabah terhadap dasar, kepimpinan, strategi dan kekuatan akar umbi.


Kemenangan PRU15 bukan jaminan kemenangan PRU16. Landskap politik sentiasa berubah dan kepercayaan rakyat perlu diperjuangkan semula. Melaka mungkin sebuah negeri kecil, tetapi mesej politiknya cukup besar.


Persoalannya, adakah PH akan mengambil pengajaran daripada Melaka, atau hanya akan sedar apabila kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan?


Penulis merupakan Ketua Komunikasi KEADILAN Cabang Sri Gading

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page