top of page

Kerajaan tanggung sepenuhnya kos rawatan atlet angkat berat negara, Hafizuddin

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read
Dr Mohammed Taufiq (kiri) menziarahi atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Dr Mohammed Taufiq (kiri) menziarahi atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kecederaan akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.


Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tanggungan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) itu merangkumi rawatan susulan serta kos penginapan di wad sehingga atlet berkenaan dibenarkan keluar hospital.


Beliau berkata, elaun latihan Hafizuddin juga akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa bagi memastikan kebajikannya terus terpelihara sepanjang tempoh pemulihan.


"Saya hari ini menziarahi atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kecederaan dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.


"Hafizuddin berada dalam keadaan baik dan kuat semangat. Saya turut bertemu ibu bapa dan ahli keluarga beliau serta menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mohammed Taufiq, semakan MSN melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000.


Selain itu, atlet berkenaan turut layak menerima pelbagai manfaat di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


Katanya, berdasarkan anggaran PERKESO, Hafizuddin layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit.


Beliau juga layak menerima Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) sebanyak RM915.84 sebulan sepanjang hayat serta bayaran pukal sekali gus berjumlah RM39,060.58.


"Beliau turut layak menerima Faedah Perubatan serta kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional," katanya.


Dalam pada itu, MSN turut menyediakan kemudahan penginapan dan makanan di Casa MSN atau lokasi lain yang difikirkan sesuai bagi memudahkan ahli keluarga menemani Hafizuddin sepanjang tempoh rawatan di HKL.


Mohammed Taufiq berkata, MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang yang bersesuaian, termasuk aspek pemulihan, kaunseling serta peluang masa depan atlet berkenaan.


Langkah itu bagi memastikan kebajikan Hafizuddin terus diberikan perhatian bukan sahaja sepanjang rawatan, malah selepas proses pemulihan.


Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar atlet negara itu terus tabah dan diberikan kekuatan sepanjang menjalani proses pemulihan.


Dalam masa sama, beliau memohon orang ramai menghormati privasi Hafizuddin dan keluarganya sepanjang tempoh berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page