top of page

Gen Z harus faham sejarah, Rukun Negara, elak rusuhan 13 Mei

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
36 minutes ago
2 min read

Generasi Z perlu melihat perpaduan dalam negara ini bukan sekadar soal perbezaan kaum dan agama, sebaliknya sebagai tanggungjawab bersama untuk mempertahankan nilai yang menyatukan rakyat Malaysia.


Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran (gambar) berkata, perpaduan juga perlu dilihat sebagai rasa cinta terhadap negara kerana perasaan itu akan mendorong rakyat untuk berpegang kepada prinsip yang menjadi asas penyatuan masyarakat.


Katanya, antara prinsip utama yang menyatukan rakyat ialah Rukun Negara yang diwujudkan sebagai salah satu asas untuk memupuk perpaduan selepas negara melalui peristiwa 13 Mei 1969.


"Kenapa kita ada Rukun Negara? Kita tahu cerita tentang peristiwa 13 Mei 1969 antara sejarah hitam dalam negara kita dan itu perlu menjadi satu pengajaran.


"Pada 31 Ogos 1970 pula, kita telah melancarkan Rukun Negara. Kita tengok ramai pemimpin antaranya India, Cina, Iban, Kadazan. Mereka inilah pemimpin dan tokoh terdahulu yang duduk fikir macam mana nak menyatukan rakyat," katanya.


Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata demikian dalam audio siar Kerusi Biru bertajuk ‘Prinsip Rukun Negara Adalah Asas Perpaduan’ bersama pengacara remaja yang mewakili Gen Z.


Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, prinsip Rukun Negara sememangnya sejak dahulu menjadi asas perpaduan rakyat, bukan hanya ketika era generasi Z dan milenial pada hari ini.


"Sekarang pusinglah buku nota coklat di bahagian belakang itu, tak ada pun (prinsip Rukun Negara).


"Di bawah Kementerian Perpaduan Negara, memang kita perkasakan dengan memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti berkaitan Rukun Negara seperti baru-baru ini kita ada pidato Rukun Negara di Melaka.


"Memang banyak lagi kita libatkan pelajar di sekolah. Sebenarnya benda ini sudah ada, cuma kita nak mengingatkan anak-anak muda.


"Macam saya kata, apabila kita cintakan negara, kita akan ketepikan semua perkara lain dan fokus kepada apa yang boleh menyatupadukan kita," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page